5:44 PM

Semangat lebuhraya...

Hujung minggu berkunjung ke utara menghadiri satu program.Memandu di lebuhraya utara selatan agak memenatkan walaupun ianya tidak banyak mengunakan "skill" untuk memandu.

Gelagat para pemandu agak mengasyikkan dan jika kita berfikir secara positif rupanya ia adalah satu "muhasabah" yang baik untuk kita terapkan dalam kehidupan kita.

Kita perhatikan betapa semangatnya kenderaan yang "berumur" untuk turut sama "berlumba" kadang-kadang terkeluar asap berkepul-kepul di ekzos masing-masing,namun tidak dihiraukan oleh "tuan" masing-masing.Nampaknya lagi berumur lagi kuat tenaganya diperah untuk bertanding dengan kereta-kereta baru yang saya percaya tidak perlu mengunakan banyak tenaga untuk meluncur laju.

Nampaknya begitulah "kita" di alam realiti ini,umur sudah melangkau separuh abad atau lebih namun kita masih "memecut"untuk terus "laju",kadang semacam tidak pernah terfikir bahawa kita ini sebenarnya sudah lagi tidak "mampu" untuk laju sebenarnya tetapi kerana nafsu atau semangat "muda" yang tidak pernah hilang daripada kita selagi kita bernama manusia maka kita memecut dan terus memecut tanpa menghiraukan siapa dan ke arah mana tujuan kita sebenarnya.

Saya percaya "memecutnya" kita bukan kerana untuk menuju destinasi sangat tetapi lebih kepada untuk memuaskan hati muda kita.Kita rasa bangga kalau kita dapat memotong kereta lain,lebih-lebih lagi kereta yang kita potong itu baharu malah kuasa kudanya lebih besar.Itulah sebabnya keluar asap biru pun kita masih memecut tanpa memikirkan minyak hitam akan kering,enjin akan jadi panas serta risiko enjin akan rosak dan akan mati.

Apakah kita pernah terfikir begitu dalam hidup ini?,kalau ada maka mungkin kita akan dapat mencari sesuatu yang baik dan berguna untuk kehidupan kita di dunia ini lebih-lebih lagi di akhirat,tetapi kalau tiada maka kita sebenarnya akan terus-terusan hanyut bersama hanyutnya impian kita.Oleh itu kembalilah ke alam realiti sebenarnya supaya kita akan selamat dan berbahagia.


Share/Bookmark

0 comments: