12:14 AM

Jika PAS jadi MB Selangor : Subky Latif

Jika PAS jadi MB Selangor

SUBKY LATIF | .
ORANG PAS jangan berkelahi kiranya Sultan Selangor memperkenan PAS jadi Menteri Besar Selangor yang baru. PAS mesti terbuka menerimanya sebagai satu jalan keluar bagi menyelesaikan puaka Langkah Kajang yang menyusahkan semua orang itu.
  
Kita semua tahu siapa pun yang menjadi Menteri Besar sekarang akan menjadi Selangor terus bergolak.
  
Sesudah sekian lama Sultan bertahan mahukan Pakatan memberi lebih daripada satu calon, saya tidak tefikir baginda akan akhirnya perkenan pada calon tunggal yang asal.
  
Calon terdekat seperti yang mula dicadangkan oleh PAS, Azmin Ali, katakan sekalian ADUN tidak mentakwilnya, mulai ada pula takwil daripada PKR sendiri tentang peneriman Azmin itu mempersenda keputusan awal PKR yang menamakan satu calon saja. Kemungkinan Azmin juga akan menimbulkan krisis seperti Khalid juga.
   
Akhirnya pentadbiran Selangor akan hancai juga.
   
Katakanlah PAS yang ditunjuk. Dipercayai umum rakyat akan menerimanya, tetapi semua tahu PKR dan DAP yang menguasai majoriti DUN tidak akan setuju selain daripada Dr. Wan Azizah.
  
Menteri Besar Pakatan Selangor itu bukan hak dan pusaka bagi mana-mana parti dalam komponen itu. Ia disetujui dalam PRU 2008 dulu kerana PKR punya ADUN lebih dari parti lain. Untuk berbaik sangka dan menghormati Anwar Ibrahim sebagai pencetus Pakatan Rakyat, maka wajarlah diberi kepada PKR supaya semua pihak dalam Pakatan merasa kuih kemenangan itu.
   
Maka tidak boleh parti itu mengira ia sebagai hak istimewanya seperti Melayu hak istimewa yang tidak boleh diusik. Siapa yang mengusiknya melanggar akta hasutan. Menteri Besar Selangor itu hak semua tetapi masa tenang ada kebijaksanaannya memberi penghormatan kepada PKR sekalipun dalam PRU lalu kerusinya sudah kurang daripada yang lain.
  
Itu masa tenang. Tetapi selepas itu timbul masa huru-hara. Maka tidak boleh dalam masa huru-hara semuanya hendak besar kepala. PAS pun manusia juga. Kalau orang kata ia begitu dan begini, ia pun ada hak juga. Cuma ia hendak menuntut atau tidak. Macam Pulau Spratly, semua negara pantai Laut China Selatan merasa ada hak. Semua menuntut.
  
Sehingga saat ini pun PAS masih mahu menjaga hati PKR, tidak bulat mahukan jawatan itu. Bukan kerana ia harta pusaka PKR tetapi menjaga hati dan harmoni, biarlah keutamaan diberi kepada PKR tetapi biarlah calon MBnya disepakati semua.
  
PAS mahu menjaga hati semua termasuk Sultan. PAS tiada masalah dengan Istana Selangor. Sesudah Pakatan buntu atas isu MB itu, kepada siapa lagi hendak mengadu selain berhakimkan Raja. Ia sikap yang bijak.
  
Menuntut kerusi MB dalam masa bergolak bukan kerja yang bijak. Maka PAS tidak menuntut. Tetapi jika yang Allah takdir! Jika Istana minta PAS, maka pantang Melayu derhaka. PAS terpaksa terima dengan tanggungjawab yang berat. Ia tidak bertujuan menyinggung PKR dan DAP, tetapi mahu membantu Sultan  menghadapi tempias krisis Pakatan Rakyat itu.
   
PAS tahu ia tetap tidak mendapat sokongan yang lain dan ia tidak menyelesaikan krisis yang ada. Tetapi menerimaannya itu adalah atas tanggungjawab bagi mengeluarkan Selangor daripada kebuntuan orang yang tidak mahukan Khalid Ibrahim lagi.
  
Selepas MB PAS mengangkat sumpah, Menteri Besar itu pun boleh menasihatkan Sultan membubarkan DUN bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri. PAS dan exconya menjadi kerajaan sementara.
  
Lepas itu semua senang, moga-moga semua senang. Sultan senang. Khalid pun senang. Semua parti senang. – HARAKAHDAILY 22/9/2014

Share/Bookmark Read more...

6:10 PM

Pengundi Pengkalan Kubur, jangan biar BN tipu Kelantan : Subky Latif

Pengundi Pengkalan Kubur, jangan biar BN tipu Kelantan

SUBKY LATIF | .
SEKALIAN pengundi PRK Pengkalan Kubur jangan biarkan kerajaan datang untuk menipu Kelantan dan rakyatnya tentang hak mereka atas royalti minyak yang kerajaan pusat sudah kaut selama ini.
  
Jentera PRK BN yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin akan turun untuk memberi dalih mengapa Kelantan tidak boleh diberi royalti yang ditunduk sekarang sekalipun ia bersetuju untuk memberi wang ihsan daripada minyak itu melalui jabatan pentadbirannya di Kelantan.
   
Dalihnya ialah telaga minyak terletak di luar perairan negeri itu sedang telaga yang royaltinya diberi kepada Terengganu lebih jauh dari pantai Terengganu dibanding dengan pantai Kelantan.
   
Tidak berbangkit apakah telaga itu lebih atau lebih dekat dari yang di Terengganu tetapi telaga yang  Terengganu pernah nikmat royaltinya dulu adalah di luar kawasan tiga batu nautika dari perairan Terengganu. Jika Terengganu boleh mengapa rakyat Kelantan tidak boleh?
  
PRK Pengkalan Kubur adalah kesempatan terbaik bagi rakyat Kelantan menyatakan bantahan kepada kerajaan pusat tentang penafiannya terhadap hak rakyat dan kerajaan Kelantan.
  
Undi rakyat di PRK Pengkalan Kubur itu adalah bagi memastikan royalti atas minyak mesti diberi kepada rakyat melalui kerajaan pilihan rakyat dan ia mesti masuk ke dalam dana kerajaan negeri, tidak diberi melalui mana-mana pihak lain.
   
Penolakan pengundi terhadap calon BN nanti bererti tanda tidak setuju rakyat tentang sikap kerajaan pusat dalam isu royalti minyak. Ia akan jadi tekanan kepada kerajaan pusat supaya segera menunaikan tuntutan rakyat dan kerajaan negeri.
  
Tetapi pengundi nanti sebaliknya mengundi BN, bererti jangan haraplah kerajaan BN akan menunaikan hak orang Kelantan itu.
   
Maka pengundi Pengkalan Kubur mesti jangan benarkan kerajaan BN membolot hak mereka setelah sekian lama hak itu dibolot.
  
Hak Kelantan itu telah digelapkan sejak dari mula minyak di telaga itu dihasilkan. Orang ramai tidak diberitahu hinggalah Exco Husam Musa ketika pentadbiran Menteri Besar TG Nik Abdul Aziz membongkarnya.
   
Sejak tuntutan itu dibuat kerajaan pusat terus berkeras mengatakan Kelantan tidak berhak atas dalih yang TPM ulang lagi justeru ia di luar kawasan tiga batu nautika dari pantai Kelantan dan ia tidak pernah berjaya menerangkan tentang pemberian kepada Terengganu yang dikatakan lebih jauh.
  
Pengundi Pengkalan Kubur hendak tahu dan Muhyidin dan kru kempennya mengapa Royalti pernah diberi kepada Terengganu sedang telaganya juga di luar tiga batu nautika. Muhyiddin jangan datang dengan jarak telaga itu dengan Kelantan saja dan ia mesti terang jarak telaganya dengan Terengganu.
  
Setelah PM Najib tidak dapat menjawab hujah Geografi itu ia kononnya bermurah hati memberi wang ihsan kepada Kelantan yang dikatakannya tidak berhak. Apa alasan pihak yanag dikatakan tidak berhak itu diberi wang ihsan?
   
Adakah kerana kerajaan dan rakyat Kelantan menuntut haknya? Atas sebab murah hati konon mengapa ia tidak diberi kepada Pahang dan Johor?
   
Semua orang mahu tahu hujah murah hati itu?
  
Tetapi orang Kelantan tetap tidak termakan dengan wang ihsan, kerana hak mereka tidak boleh dibeli dengan wang ihsan. Biarlah BN belenggu Umno Terengganu, rakyat Kelantan bukan seperti Umno Terengganu yang boleh dicucuk hidung.
   
Undi untuk PAS adalah Yes untuk royalti dan undi kepada BN adalah ‘no royalty.’ – HARAKAHDAILY 20/9/2014

Share/Bookmark Read more...

6:08 PM

Mahathir mahu siapa ganti Najib? : Pak Subky Latif

Mahathir mahu siapa ganti Najib?

SUBKY LATIF | .
SEKALIPUN tidak ditanya NGO yang menemuinya, Dr. Mahathir sengaja memberitahu, dia bimbang BN akan kalah dalam PRU14 nanti kiranya terus dipimpin Najib.
   
Sekalipun dalam kenyataannya sebelum ini Dr. Mahathir tidak bercadang supaya Najib digantikan atau Perdana Menteri itu berundur, tetapi ada tanda dalam kenyataannya kepada NGO itu dia suka Najib digantikan.
   
Bagi menyelamatkan BN, semua kesilapan Najib sejak menjadi Perdana Menteri mesti dibetulkan dan tidak meneruskan dasar-dasar yang sedang dirancangnya.
   
Itulah kira-kira perkara yang Najib perlu lakukan kiranya BN hendak selamat dalam PRU akan datang. Kiranya Najib tidak sedia membetulkannya, bererti Najib sengaja mengundang kekalahan.
  
Saya tidak nampak Najib akan mengaku salah atas apa yang dibuatnya dan tidak nampak Najib akan membatalkan pelaksanaan GST dan perjanjian dengan beberapa belas negara pimpinan Amerika mengenai ekonomi yang dibantah oleh pembangkang dan Dr. Mahathir. Perjanjian itu menunggu masa saja untuk ditandatangani. Apabila ditandatangani, orang asing mudah membuka perniagaan, tidaklah mampu saudagar tempatan menyainginya.
   
Dan jika Najib akur kepada tuntutan Mahathir, sempatkah Najib hendak membaiki kesilapannya menjelang PRU nanti? Ia dipercayai tidak sempat. Maka apa Najib patut buat ialah berundur.
  
Banyak yang saya tidak setuju dengan Dr. Mahathir, tetapi tentang banyak yang tidak betul dilakukan oleh Najib itu memang betul dan tentang kemungkinan BN kalah sama ada Najib tidak berundur atau pun berundur memang berasas.
  
Harapan bagi menyelamatkan BN hanya Najib mesti digantikan sekarang, bukan selepas ini. Jika dia berhenti sekarang, mungkin ada masa bagi penggantinya membuat pembetulan. Itupun jika pengganti itu berwibawa. Tetapi harapan ia diselamatkan oleh penggantinya juga belum tentu kuat.
   
Maka siapakah yang Mahathir fikir bagi menggantikannya sekarang? Mahathir mahu siapa? Masa BN sudah amat suntuk. Jika ganti itu Dr. Mahathir sendiri belum tentu dapat menyelamatkannya, kerana kesilapan Najib itu adalah tambahan kepada beban orang-orang yang sebelumnya.
  
Puaka besar yang rakyat bakal hadapi ialah GST. Sekarang Malaysia adalah negara yang amat mahal bagi rakyatnya. Ia belum termasuk GST. Di England barang yang sepaun sudah termasuk GST.
  
Semua bank sudah membuat persediaan tentang puaka. Najib sudah tidak boleh tangguhkan. Jika ditangguh/dibatalkan, akan mengamuk pula bank. Bukan justeru bank suka, kerana bank telah terpaksa bersedia gara-gara puaka besar oleh Najib itu.
 
Jika ada rampasan kuasa seperti di Afrika dan Mesir pun tidak mudah mengatasinya. Maka seburuk-buruk perbalahan Pakatan Rakyat tetap tidak menghalang berdepan dengan risiko kalah yang Mahathir duga itu.
   
Puaka GST itu jauh lebih teruk daripada krisis MB Selangor termasuk takwil Dr. Wan Azizah sebagai calon MB baru. Maka apakah Pakatan bersedia menjadi ganti yang terbaik bagi BN dan Najib yang hilang keupayaan.
  
Maka Pakatan mesti keluar daripada puaka Langkah Kajang yang menjadikannya tinggal separuh nyawa dan hingga ia sudah dilihat kosong PM menunggu. PR mesti membuang Langkah Kajang itu ke Lautan Hindi dan ganti dengan Langkah Kanan Ke Putrajaya. Kedua, memulihkan PM menunggu sebelum ini jika sempat dilakukan.
  
Yang terbaik ialah mencari calon PM menunggu yang terbaik, tetapi ia bukan boleh dicari-cari. Ia mesti muncul sendiri.
  
Mahathir sudah pun beri isyarat pintu Putrajaya sudah tidak terkunci lagi. Jika mahu masuk Putrajaya, jangan fikir lagi bagaimana hendak membuang PAS. – HARAKAHDAILY 18/9/2014

Share/Bookmark Read more...

7:10 PM

PAS dihormati kerana ulamanya : Pak Subky Latif

PAS dihormati kerana ulamanya, selamat bermuktamar

SUBKY LATIF | .
DIUCAPKAN setinggi tahniah kepada PAS yang bermuktamar kali ke-60 di Batu Pahat tahun ini, moga-moga ia diberkati dengan limpahan mardhatillah.
  
Selalunya PAS bermuktamar di Kuala Lumpur dan negeri-negeri sebelah utara ibu kota. Kali ia beralih ke selatan buat pertama kali dalam usianya 63 tahun. Moga-moga ia satu isyarat pengaruh parti Islam ini mencecah pantai Selat Teberau.
   
Parti politik Islam yang ditubuhkan para ulama ini sedang diberi perhatian oleh semua bagaimana ia dapat membantu Islam sejagat menjadikan abad hijrah ke-15 yang sudah berlangsung 45 tahun itu sebagai giliran Islam menentukan paksi dunia buat kali kedua selepas hijjrah Rasul SAW ke Madinah.
   
Bagaimana PAS mengisi agenda programnya sedang diperhatikan oleh kawan dan lawan.
   
PAS tidak merancang muktamarnya di Johor menjadikan medan bermuhasabah setelah kira-kira tiga bulan ia diperkata dan dibicarakan oleh semua bersabit isu Langkah Kajang dan krisis Menteri Besar Selangor. Belum pernah ia dibicarakan sebahagian penyokongnya, sekutu Pakatannya, musuh tradisinya Umno dan rakyat semua kaum.
  
Tiga bulan ini adalah tempoh ujian besarnya, dengan agenda politik yang tidak pernah dirancangnya telah menjadikannya terkeluar daripada kepompong yang selama enam tahun ini ia dikira oleh kebanyakannya sebagai parti pak turut dalam kerabat Pakatan Rakyat.
  
Dengan sikapnya tentang isu MB Selangor yang menjadi inti Langkah Kajang, sekali pun pengendalian seperti kurang terurus dan mengelirukan semua, tetapi itu yang membebaskannya daripada belenggu parti pak turut itu. Itulah yang menyebabkan ia dan kepimpinan ulamanya dituju dari kiri dan kanan.
  
Pertama kali sejak era kepimpinan ulama 32 tahun lalu kesatuan pimpinannya tercabar, ulama dan non-ulama tidak dilihat sejalan, tiba-tiba ulamanya dikira konservatif dan non-ulama yang puluhan tahun menghabiskan masa dalam parti jatuh wibawanya pada setengah penyokong. Ia suatu yang tidak pernah berlaku selama 32 tahun yang lalu.
  
Mengapa gara-gara krisis MB Selangor itu PAS ditimpa krisis keyakinan dalaman? Sepatutnya krisis keyakinan itu berlaku semasa ia dibelenggu imej parti pak turut, tetapi ia tercabar setelah bebas daripada imej pak turut.
   
Tidakkah ia gara-gara perhatian kepada konsep kepimpinan ulama bagi parti itu mulai longgar kepada semua? Krisisnya tahun 70-an diatasi dengan parti menyanjung tinggi pimpinan ulama sekalipun imej ulama sebelumnya adalah rendah, dan dalam kewaspadaan itu PAS mendaulatkan ulama. PAS jadi jamaah yang kukuh.
   
Tidakkah tumbuhnya rasa acuh tak acuh kepada wibawa ulama itu melemparkan semula PAS ke masa kecelaruan sebelum era kepimpinan ulama? Ini yang muktamirin di Batu Pahat perlu muhasabah. Yang tercabar sekarang bukan sekadar ulamanya, sekalian profesional non-ulama yang menjadi tunjang ikut menerima tempias.
   
Semua ini adalah amaran awal kepada PAS. Semuanya mesti kembali kepada semangat Muktamar 1982 bagaimana ulama mesti didaulatkan sekalipun semua maklum akan wibawa dan keupayaan ulama itu dulu, sekarang dan akan datang.
 
 Percayalah dengan semua lapisan dalam PAS daripada nelayan, pemandu lori dan teksi, peguam dan jurutera, ustaz dan lebai meletakkan ulama di tempat yang betul, bantuan Allah tetap akan datang melimpah, segala yang dirasakan keliru aras krisis MB Selangor oleh banyak pihak itu akan bertukar menjadi cahaya yang benar, hingga semua tidak merasa rugi berteduh di bawah payung PAS.
  
Jika PAS sendiri keliru dengan ulama, jangan fikir dunia akan memuliakan ulama. Kalau PAS melihat ulama dengan sebelah mata, di luar PAS nescaya semua menutup mata. Mulianya PAS kerana ulamanya. Muktamar ke-60 ini di Batu Pahat ini dipercayai dapat mencerahkan semula semua bahawa PAS adalah sama tinggi dengan lain kerabat Pakatannya, tiada lagi parti pak turut. –HARAKAHDAILY 17/9/2014


Share/Bookmark Read more...

5:56 PM

Patutnya PasMa sokong pemuda pakatan :Pak Subky Latif

Patutnya PasMa sokong pemuda Pakatan

SUBKY LATIF | .
PEMUDA Pakatan yang terdiri dari Dewan Pemuda PAS, Angkatan Muda PKR dan DAPSY telah cuba menunjukkan tindakan baik dan terpuji bagi menyelesaikan perbalahan Pakatan Rakyat atas isu Menteri Besar Selangor.
 
Percubaan pertama mereka bercadang bagi menganjurkan pertemuan lapan mata terdiri daripada Ustaz Hadi, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dengan Menteri Besar TS Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan isu itu.
  
Belum sempat bertindak, PKR memecat Khalid sebagai anggotanya.
  
Mereka tidak berputus asa. Sekarang mereka hendak bertemu dengan tiga pemimpin besar Pakatan itu secara berasingan. Kita tunggu keputusannya.
  
Pemuda Pakatan itu sekurang-kurang prihatin apa yang berlaku yang boleh merugikan semua pihak, maka mereka tidak menuding mana-mana pihak, mereka tentunya tidak senang dengan apa yang berlaku, dan sekarang bekerja dari dalam mengajak ke tiga-tiga pihak menyelesaikan masalah itu. Ia adalah tindakan politik yang bijak daripada organisasi politik dalaman.
  
Sepatutnya PasMa mengambil tindakan yang serupa, meyokong langkah pemuda Pakatan itu bertemu dengan pemimpin semua parti yang terlibat membincangkan perkara itu. Usahakan supaya penyokong-penyokong PKR dan DAP bersama dengan mereka menggesa dari dalam supaya Pakatan menyelesaikan masalahnya.
   
Apa yang orang-orang PAS buat dengan PasMa sebagai NGO dilihat sasarannya adalah terhadap PAS, tidak nampak ditujukan kepada pemimpin dan kerabat Pakatan yang lain. Dengan NGO yang dibuat begitu tanpa pengetahuan PAS, itu boleh dikira sebagai parti dalam parti sekalipun ia tidak bertujuan begitu.
  
Ia boleh membuat kumpulan bagi mendesak PAS jangan begitu dan begini, tetapi mesti dalam lingkungan dalaman seperti Unit Amal atau lembaga PASTI atau apa jua, memberi tekanan pada PAS, tetapi tidak sampai menyatakan keluh kesah itu kepada masyarakat PAS.
  
Begitulah Ustaz Hassan Shukri, Pak Yazid Jaafar dan Ustaz Zakaria Ansari berpakat dengan Ustaz Ashaari Mohamad membentuk Darul Arqam sebagai badan dakwah membuat apa yang patut dibuat oleh PAS. Ia adalah untuk menyokong PAS dari luar. Apabila Ustaz Ashaari menjadikan Arqam menyaingi PAS dan mencabar PAS, mereka tinggalkan Arqam.
  
Orang-orang yang membentuk PasMa tidak diketahui apa ia buat bagi membetulkan PAS dari dalam. Ia mendahulukan kerja dengan mendedahkan rasa tidak senang mereka lebih banyak tentang PAS kepada masyarakat umum. Sebagai orang PAS sepatutnya mereka adakan pertemuan itu dengan PAS dan nyatakan apa yang mereka tidak senang terhadap PAS dan pimpinan kepada pemimpin PAS.
  
Ia adakan forum untuk menjelaskan tujuan penubuhannya, tetapi sekaligus ia membuka medan itu untuk orang luar memukul PAS dan pemimpinnya. Ia beritahu bahawa setakat ini ia sekadar NGO untuk membantu Pakatan Rakyat, bukan parti politik. Setakat ini bererti, esok belum tentu. Esok ia boleh jadi parti politik.
   
Setakat ini ia telah menolong PKR dan DAP untuk meletakkan PAS di kandang orang salah. Betul-betul ia telah menyediakan ruang kepada musuh PAS untuk memukul PAS. Ini bukan kerja NGO untuk membantu PAS. Malah apa yang dibuat itu tidak juga membantu Pakatan. Ia menyebabkan Pakatan lebih bermasalah. Jika sayangkan Pakatan buat seperti apa Pemuda Pakatan buat. Berkesan atau tidak adalah perkara kedua. Mereka telah buat tindakan yang betul. – HARAKAHDAILY 15/9/2014

Share/Bookmark Read more...

9:05 PM

Masa depan Pakatan, PAS dan DAP : Pak SUBKY LATIF

Masa depan Pakatan, PAS dan DAP

SUBKY LATIF | .
TELAH saya berfikir untuk menyatakan masa depan Pakatan Rakyat atau lebih jelasnya pembangkang di Malaysia adalah antara PAS dan DAP. Tetapi saya tidak menyebutnya kerana saya menjaga hati rakan-rakan dalam PKR terutama Brother Anwar Ibrahim yang saya tidak mahu bermasalah lagi dengannya.
  
Cukuplah kami sudah tidak berdua selama dia dalam Umno. Sesudah berdua semula selepas itu, janganlah tidak berdua lagi.
  
Lama sebelum wujudnya Langkah Kajang, saya sudah mendengar PKR tidak senang dengan Khalid Ibrahim. Saya dapatkan pandangan akar umbi DAP kemungkin giliran PAS pula sebagai Menteri Besar. Maklum balasnya, ia boleh terima jika ganti itu Dr. Rani, ADUN PAS Meru dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.
  
Saya pernah bayangkan hal itu dalam tulisan saya. Kemudian Langkah Kajang pun meledak dan Pakatan Rakyat bergelora, DAP solid bersama PKR untuk membuang PAS. Saya tidak tahu politik apa yang DAP guna, tidak mengambil apa-apa langkah bagi mengendurkan ketegangan antara PAS dan PKR.
  
Imej PKR tidak akan serosak sekarang dalam kalangan rakyat terbanyak jika DAP dapat memberi nasihat yang baik kepada Anwar dan PKR. PAS sekarang huduh pada orang PKR saja, tidak pada orang ramai. DAP tidak sekadar tidak membantu PKR dan Pakatan, ia tidak membantu dirinya sendiri.
  
Sekarang Sultan Selangor sudah kata DAP derhaka. Sama ada titah Sultan tepat atau sebaliknya, ia amat disenangi oleh Umno dan sekalian rakyat yang tidak sukakan DAP. PAS tidak dapat mencairkan pandangan negatif umum terhadap DAP seperti sebelum ini. Sebelum ini apa yang Melayu kata tentang DAP, PASlah yang mencairkannya.
   
Saya masih kata, DAP masih releven buat PAS. Ia masih dapat bertahan lama sekalipun setelah tiada Lim Kit Siang dan selepas Lim Guan Eng jadi warga emas. Ia akan lebih terserlah jika ia dapat sekutu Melayu yang boleh bersamanya bagi mencabar kekuasaan BN dan Putrajaya. Sekutu yang ada akar umbi ialah PAS. PAS akan ada lama.
   
Tetapi PKR tidak boleh jadi sekutu yang penting, kerana pertama tidak jelas siapa yang boleh menjaganya selepas tiada  Anwar? Sokongan orang Melayu kepada Anwar dan PKR banyaknya adalah daripada PAS. Apabila Anwar tidak ada, tidak dapat dipastikan sokongan itu. Orang bukan Melayu pula bergantung kepada sokongan yang DAP boleh bantu. Sokongan DAP kepada PKR juga adalah kerana Anwar. Kalau Anwar sendiri hilang sokongan orang Melayu, apa lagi yang DAP harap untuk membantunya lebih dekat ke Putrajaya?
   
Jawapannya ialah DAP bukan saja diperlukan oleh PAS, tetapi DAP juga memerlukan PAS. Jika tidak DAP akan balik ke tempat lama bersendirian. PAS dan DAP telah ada sejarah dan pengalaman baik di Perak. DAP amat senang dengan Menteri Besar PAS, Nizar Jamaluddin. PAS tidak pernah mengira apa yang dicapainya di Perak adakah hak dan kepintarannya. Tapi yang terjadi itu adalah atas kerjasama dan kerelaan DAP. Orang PAS terus mahu perlu memerlu antara satu dengan lain seperti di Perak itu perlu disambung.
   
Ramai di luar Pakatan mahu PAS menggantikan Khalid, tetapi PAS suka ia dikekalkan untuk PKR kerana ia menjaga hati PKR dan hati DAP. Sekalipun Sultan menerima PAS jadi Menteri Besar tidak banyak PAS bertahan kalau DAP tidak bersedia jadi seperti Perak dulu. PAS tentu tidak mahu mengambil kesempatan daripada sokongan DAP saja kerana ia akan dikira tidak berlaku adil kepada PKR.
   
Kalau DAP merasa perlu keluar daripada cap derhaka daripada istana, ia mesti membuat keputusan untuk menenangkan PKR supaya berlunak dengan PAS. Kerana suasana politik yang demikian, masa depan DAP adalah lebih selesa bersama PAS. Tidak mengapa DAP tidak perlukan PAS, tetapi PAS tetap merasa perlu berkawan dengan DAP. DAP jangan buang PKR, tetapi PAS boleh lebih penting. – HARAKAHDAILY 15/9/2014


Share/Bookmark Read more...

7:37 AM

Penubuhan Pasma bukan idea serius : SUBKY LATIF |

Penubuhan Pasma bukan idea serius

SUBKY LATIF | .
SEPATUTNYA saya tidak perlu ulas. Justeru penubuhan Pasma sudah disebut-sesbut sebagai serpihan PAS bagi menggantikannya dalam Pakatan Rakyat, elok juga diulas, moga-moga meredakan mereka yang keliru dengan politik.
   
Ia dikatakan usaha segelintir orang PAS dan beberapa orang PAS telah disebut dimasukkan dalam penajanya. Saya tidak fikir Husam Musa yang dinamakan sebagai Presidennya sedia mengorbankan potensi masa depannya yang cerah dalam PAS dan dalam penguasaan Putrajaya selepas PRU14 sedia serta dalam remeh politik itu.
  
Saya kurang arif dengan sikap Ustaz Ahmad Awang yang sudah berundur daripada politik yang aktif yang dicadangkan menjadi Mursyidul Amnya. Jika dia setuju, saya tidak nampak bisanya. Yang tambah merendahkan anggapan saya ia bukan idea yang serius apabila Setiausaha penajanya Taib Ahmad, ahli PAS lama dari Kubang Pasu yang amat kurang pengaruhnya dalam parti.
 
Saya kenal dia. Dengan dia jadi penggerak utamanya, dia boleh daftar parti seperti Ustaz Wahab Yunus, orang PAS Dungun zaman Datuk Asri dulu. Dia simpan pendaftaran parti dan dikatakan pendaftaran dibeli oleh golongan reformasi  sebagai tapak pembentukan PKR. Itu yang saya dengar.
   
Jika ada pemimpin PAS yang hendak ikut, ia satu jalan keluar baginya setelah putus asa dalam PAS. Jika ada yang ikut, ia seperti gantung diri dalam politik. Untuk menyaingi PAS tak mungkin. Bagi mengambil alih tempat PAS dalam Pakatan Rakyat, jika berjaya, akan menjadikan Pakatan Rakyat, PKR dan DAP serta pemimpin-pemimpinnya bahan lawak jenaka terlucu.
  
Yang saya ulas ura-ura keinginan penubuhan itu kemungkinan ia diusahakan oleh sekutu PAS bagi memalukan PAS setelah ia tidak jadi tukang angguk dalam krisis politik Selangor sekarang. Setelah PAS dimalukan dengan dua ADUN disambar, maka mungkin diadakan pak sanggup bagi menggantikan tempat PAS dalam sekutu itu.
  
Tidaklah kita bersangka buruk, tetapi politik dunia ini begitu dan tidak boleh dipandang remah. Jika dari situ puncanya, habis Anwar dan Kit Siang jadi barang geli yang mengeringkan gusi.
   
Saya harap ia tidak begitu, kerana Anwar bukan setaraf pemimpin Umno yang menaja pembentukan Berjasa dan Hamim 30 tahun lalu. Jika Datuk Asri yang diketahui pintar tidak dapat menggugat PAS, maka tidak nampak Ahmad Taib boleh menjadi Erdogan bagi memandu politik baru di Malaysia.
   
Erdogan sudah dilihat lama sebagai orang Parti Refah yang menonjol lebih berdaya saing dari pimpinan Erbakan. Dia boleh kalahkan Erbakan daripada parti itu jika dia mahu. Kejayaannya sebagai Datuk Bandar Istanbul mengkagumkan semua parti politik Turki.
  
Belum ada daripada kalangan pimpinan PAS yang boleh menyamai Erdogan bagi pencabar pimpinan yang ada. Jika ada yang jadi macam Erdogan, Erdogan itu hanya ada seorang saja di dunia iaitu di Turki.
 
Jika ada orang yang hendak menjadikan Ahmad Taib dan Ustaz Ahmad Awang sebagai Erdogan PAS, ia adalah tidak lebih daripada pengarah wayang kulit yang tidak kreatif dan skrip pun tak ada.
 
Mereka boleh tidak puas hati dengan pimpinan dan pentadbiran PAS. Mereka berhak untuk mengadakan perubahan. Tetapi keutamaannya ialah menggantikan pimpinan yang lebih baik yang mereka fikirkan supaya boleh membawanya lebih ke depan terserlah. Bukan sekadar hendak menggantikan PAS sebagai sekutu Pakatan Rakyat baru.
   
Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi pernah berada dalam PAS yang pimpinan ketika itu perlu digantikan. Mereka tidak tinggalkan parti atau tubuh parti lain. Mereka kekal dan melalukan perubahan dari dalam.
   
Rancangan itu bukan satu tindakan politik pintar, apa lagi daripada orang yang berpuluh tahun dalam PAS. – HARAKAHDAILY 11/9/2014

Share/Bookmark Read more...

12:23 AM

Mengapa PAS latah keluar Pakatan?

SUBKY LATIF | .
SAYA tegaskan lagi, tidak berbangkit PAS keluar Pakatan Rakyat gara-gara krisis sengitnya ekoran kedudukan Menteri Besar Selangor.
  
Mursyidul Am dan Presiden PAS menegaskan ketika mula perbezaan terbuka tentang MB itu ialah keutuhan Pakatan Rakyat mesti dipertahankan.
  
Itu adalah penegasan semula sikap PAS tentang muafakat itu sejak ia diwujudkan, malah sebelumnya dalam tahaluf siasi sesama pembangkang dalam Barisan Alternatif, yang menggagalkannya bukan PAS meninggal muafakat itu, sekalipun ada masalah, tetapi pihak lain yang meninggalkannya.
  
Kita akui bahawa Pakatan Rakyat adalah dalam ujian krisis sengit dan ia dihimpit kiri kanan oleh semua sekutunya, tetapi tidak berbangkit PAS mahu meninggalkannya dan tidak pernah berniat untuk memecahkannya. Krisis dan perbezaan apabila tidak dapat dielakkan, terpaksa dihadapi dan ditangani dengan baik.
   
Sesama sahabat Nabi – Saidina Ali Abu Talib dan Muawiyah – kedua-duanya dijamin syurga oleh baginda lagikan pernah berselisih pendekatan, maka apalah pula bagi kita yang 15 kurun jarak dari masa Rasulallah SAW.
  
Kita bukan berpakat untuk berbeza, tetapi perbezaan boleh terjadi bila-bila. Itulah yang dinamakan ujian. Ujian adalah hal yang manusia sentiasa hadapi. Lainlah malaikat yang dijadikan tidak untuk diuji dan tidak juga untuk menguji.
   
Maka manusia yang dipilih Allah sentiasa dapat menangani ujian dan krisis dengan baik.
   
Ada pun PAS bukan berniat keluar Pakatan dan memecahkan Pakatan tetapi PAS mahu jadi sekutu yang berperanan bukanlah seperti lembu yang dicucuk hidung. Sekalipun PAS ditinggalkan oleh semua sekutunya seperti zaman Barisan Alternatif dulu, ia tetap dengan Pakatan sekalipun ia saja yang ada. Maka pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu tidak perlu ke sana sini memberitahu ahli PAS akan apa untungnya kekal dalam Pakatan.
   
Bukan pemimpin saja yang mahukan Pakatan. Ahli akar umbi pun tahu mereka mahukan Pakatan. Jika tidak tiadalah ahli PAS di kampung-kampung minta Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng berceramah di tempat mereka yang orang Cinanya tidak berapa orang.
  
Saya amat yakin dengan kematangan ahli PAS seperti yang pernah ditunjukkan di Kelantan tahun 1990. BN sebarkan poster Tengku Razaleigh pakai tengkolok Kadazan yang ada lambang salib di dahi. PAS Kelantan tak makan taktik itu. 100 peratus mereka memangkah Pakatan Ummah. 100 peratus Pakatan Ummah menang di Kelantan.
  
Yang makan pancing ialah penyokong Pakatan Ummah di luar Kelantan. Habis dengan PAS sekali lingkup gara-gara tidak arif berpolitik. Sejak itu PAS di luar Kelantan bertambah matang belajar daripada perkembangan di Kelantan itu bijaksana berkawan banyak dalam politik.
  
Pemimpin PAS jangan bercakap seolah-olah PAS tidak mahu Pakatan dan tiada apa untungnya dalam Pakatan. Pemimpin PAS mesti bercakap, jika semua tidak mahu lagi Pakatan, sekalipun seorang diri PAS tetap mahukan Pakatan. Jika ada orang PAS yang tidak mahu berada dalam Pakatan ia adalah orang PAS tumpang atau yang mahu lari ke langit.
   
PAS hormati persefahaman seperti Nabi SAW menghormati perjanjian Hudaibiyah. Ia tidak khianat sehinggalah jahiliyah mengkhianatinya. Orang PAS jangan bercadang untuk meninggalkan Pakatan. Yang ada ialah orang suruh PAS tinggalkan Pakatan dan PAS bukanlah jenis orang boleh dan patut disuruh.
   
Biarlah orang Melayu latah, tetapi ahli PAS terutama pemimpinnya jangan latah. – HARAKAHDAILY 8/9/2014

Share/Bookmark Read more...

7:45 PM

JIKA SEMUA KEMAHUAN DAN PANDANGAN PKR PAS KENA AKUR DAN SETUJU TIDAK PERLU LAGI PAS WUJUD, BEGITU JUGA SEBALIKNYA ... SUBKY LATIF



Apabila PKR tidak setuju Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menjadi menteri besar Selangor, PAS setuju dia terus menjadi menteri besar. Masing-masing ada sebabnya. Apabila PKR/DAP setuju memberi 1 nama saja kepada istana sebagai calon MB baharu, PAS setuju memberi lebih 2 nama seperti yang dikehendaki istana.

Ia adalah satu dua contoh bagi Pakatan ada yang tidak disetujui sesama sendiri. Di samping banyak disepakati tetapi tidak semua boleh dipersetujui semua. Dalam semua muafakat dan kerjasama tidak semua dipersetujui.

Maka setiap kerabat Pakatan wajar belajar hakikat ini.

Jika semua yang ada pada PKR dan semua yang dikehendaki PKR dipersetujui PAS, maka tiada perlu lagi PAS wujud. Tutup parti dan semua ahli PAS masuk PKR. Jika semua yang PAS mahu dipersetujui Anwar tidak dia membentuk partinya sendiri. Masuk saja PAS selepas dipecat Umno.

Anwar dan DAP setuju kepada parti berbagai kaum, sama-sama anti rasuah dan penyelewengan, mahu menegakkan keadilan dan kerajaan yang anjal. Patutnya Anwar masuk saja DAP atau DAP dibubarkan supaya semua bersama dalam PKR. Tetapi kerana ada yang sama-sama tidak setuju, PKR tidak boleh masuk DAP dan DAP tidak boleh masuk PKR.

Hatta dalam perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad dengan musyrikin Quraisy, ada yang mereka setuju dan tidak setuju. Pertama mereka setuju untuk mengadakan perjanjian. Bila setuju mereka merangka perjanjian. Pertama mereka tidak setuju ialah tajuk perjanjian. Saidina Ali yang merangka menyebut ia adalah Perjanjian Antara Nabi Muhammad dan Quraisy.

Musyrikin menolak tajuk rangka itu menggunakan kalimah Nabi Muhammad. Mereka mahu disebut antara Muhammad dan mereka saja. Nabi pun bertanya, apa beza antara Muhammad dan Nabi Muhammad? Kedua-duanya adalah orang yang sama.

Jawab mereka, mereka tidak menerima Muhammad itu Nabi. Kalau mereka setuju Muhammad itu Nabi dan Rasul, tidak mereka berada di sebelah menentang Nabi, tentulah mereka bersamanya. Nabi setuju padam kalimah yang dipersetujui itu. Saidina Ali enggan memadamnya, lalu baginda sendiri mengambil rangka itu dan memadam kalimah yang tidak disetujui.

Demikian juga DAP tidak setuju dengan konsep negara Islam dan hudud yang dirangka PAS sebelum kewujudan Pakatan Rakyat maka tiada ia disebut dalam perkara yang disepakati setakat ini. Daripada segi logiknya, jika mereka setuju dengan perjuangan PAS tentulah mereka menyertai PAS dan bersama dengan agamanya.

Jika demikian apa yang PAS tunggu? Maka teruskan dengan program dan strategi dakwah, bukan saja terhadap orang bukan Islam bahkan juga terhadap yang lahir sebagai Islam yang belum terbuka hatinya untuk beriman kepada perintah itu.

Apa pun yang paling penting tentang muafakaat yang ada ialah bersetuju mengadakan muafakat bagi mengambil alih Putrajaya dan melakukan perubahan ke arah keadilan dan kebenaran dalam kerangka yang dipersetujui kita banyak perbezaan dan jangan perbezaan itu menghalang untuk mencari kebaikan.

Sedangkan gigi dan lidah lagi tergigit, maka kita tetap setuju gigi dan lidah tidak terpisah. Janganlah kerana takut lidah tergigit kita cabut semua gigi atau kita potong lidah.

Apabila kita tahu kita ada perbezaan, maka jangan kita fikir kitalah raja, kemahuan kita yang mesti diikut, kemahuan orang tidakdiambil kira. Sedang sekarang raja pun mendengar rakyat, maka janganlah sesama rakyat hendak jadi macam raja zaman dulu.

Share/Bookmark Read more...

11:48 PM

Saya pun setuju ratusan peratus


Mufarakah yang menyusah orang lain

SUBKY LATIF | .

TIDAKLAH saya hendak membangkit dan memburukkan dua ADUN PAS Selangor yang bercadang mufarakah daripada jemaah Islam kita itu, tetapi sekadar hendak menyatakan bahawa pendirian yang pernah mereka nyatakan dalam saat krisis Embi negeri itu telah menyusahkan orang lain yang berada dalam PAS, yang mereka itu ada latar belakang sejemaah dengan keduanya.
  
Ramai mana? Tidak pula didaftarkan kerana PAS tidak perlu mangasingkan orang-orangnya dalam kelompok yang berbeza-beza. Mereka itu ramai. Asal ahli, berbakat dalam perjuangan, solat dan puasa adalah memadai dan boleh diberi kepercayaan. Dipercayai ada dalam semua tingkat parti.
   
PAS kira-kira hampir 30 tahun dulu kurang berminat dengannya sekali pun antaranya adalah anak dan menantu orang-orang PAS. Sekalipun PAS itu sudah setengahnya sejak sebelum mereka lahir, tetapi belum masa untuk menjadi PAS kerana belajar, mereka lebih dulu menjadi anggota kumpulan itu.
   
Sebagai keturunan orang PAS, tidaklah mereka membawa bendera Umno ke dalam rumah ibu bapa mereka, tetapi mereka sudah ada pandangan dan sikap lain terhadap perjuangan ibu bapa mereka. Sekalipun mereka menyertai PAS dan diberi amanah, tetapi jika bertembung program PAS dengan kegiatan kumpulannya, tiadalah mereka bersama PAS. Dan yang diberi amanah, kurang merancang  kegiatan PAS dari mereka merancang kegiatan sendiri.
  
PAS setengah negeri tidak memberi mereka peranan penting, memadailah menjadi ahli. Tidak nafikan mereka ada membuat banyak kebaikan dalam jemaah mereka. Mereka buat sekolah Islam yang elok di banyak tempat. Saya tahu itu sekolah mereka, pelajarannya baik, saya hantar anak-anak saya ke tadika dan sekolah rendah mereka. Hingga ada Pemuda PAS di luar negeri bersungut sebagai pemimpin PAS anak saya ke sekolah mereka. Itulah teruknya hubungan sesama Islam apabila berada dalam jemaah yang berbilang-bilang.
   
Di Kuala Lumpur, saya memberi peluang dan ruang kepada semua. Antara orang yang membangunkan cerucuk Markaz PAS Pusat Taman Melewar itu adalah jurutera muda mereka. Ketika saya hendak memulakan Harakah, mereka sumbangkan kumputer. Sampai sekarang saya tidak menaruh kesangsian dan terus menghantar cucu ke tadika mereka sekalipun ada PASTI berdekatan.
  
Mengapa? Sebab saya mahu hubungan yang selesa dengan orang Islam selain dari Umno. Kalau saya boleh bergaul dengan Umno, mengapa saya tidak boleh menghormati mereka.
  
Saya tahu masa itu Ustaz Fadzil acap memberi ingatan kepada penyokong PAS, barang siapa menyertai PAS, hendaklah mereka meninggalkan jemaah mereka. Pandangan Ustaz Fadzil itu adalah membayangkan seriusnya pandangan PAS terhadap jemaah lain yang hendak menyertai PAS.
   
Satu pasangan aktivis PAS, anak menantunya orang PAS yang rapat dengan saya, sentiasa bersama dalam kegiatan di Kuala Lumpur pindah ke Kelantan apabila negeri diperintah PAS semula untuk berkhidmat dalam jemaah di situ. Saya dengar dia tidak dilayan oleh orang-orang di situ kerana latar belakang jemaah tadi. Baru-baru ini saya terserempak dengannya di Putrajaya. Dia sudah balik ke Lembah Kelang. Saya diberitahu anak menantu orang PAS itu sudah jadi Umno.
   
Masa beredar dan perkembangan pesat dan berubah. Peka atas pengalaman silam jemaah lain itu cair. Jemaah itu acap bertukar baju dan nama. Sekalipun ada sisa kecurigaan itu di tempat tertentu, PAS tidak mengira sangat titik bengik dulu. Mereka yang terjun ke dalam PAS tidak ditakwil lagi sekalipun jemaah lama terus dengan sikap non-partisan dalam politik.
   
Tetapi dengan kejadian dua ADUN tadi amat meranjatkan hingga ada yang berfikir kebimbangan lama terhadap kumpulan itu seperti ada asasnya. Ini boleh menyusahkan rakan sejemaah mereka yang istiqamah dalam PAS, susah jika ada yang mentakwil kesetiaan mereka. Itulah yang timbul ekoran daripada sikap keduanya. Saya tetap pilu tentangnya. –HARAKAHDAILY 26/8/2014

Share/Bookmark Read more...