4:41 PM

Berkabung



Di akhir tahun 2008 masehi dan 1429 Hijrah ini kita dikhabarkan dengan beberapa berita sedih dan menyayat hati.Pertamanya berita kemangkatan DYMM Yang Dipertuan negeri Sembilan yang saya coretkan melalui posting semalam,dan lebih menyayat hati kita semua ialah kedurjanaan Yahudi Israel yang telah mengebom dan memusnahkan kesemua lokasi-lokasi keselamatan di Palestin.Dengan menggunakan segala kekuatan yang ada telah menyebabkan lebih daripada 200 nyawa yang tidak bersalah menjadi korban serangan tersebut.Adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk turut sama berhadapan dengan yahudi ini dan bagi kita yang jauh ini marilah bersama untuk bermunajat kepada Allah supaya sentiasa memberi pertolongan dan perlindungan kepada umat Islam Palestin dan Islam seluruhnya.





Sedikit berkenaan DYMM Yang dipertuan Negri Sembilan dipetik dari Malaysiakini.....Alfatihah

Tuanku Ja'afar yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-10 bermula 26 April 1994 hingga 25 April 1999 diputerakan di Klang, Selangor, pada 19 Julai 1922.

Baginda merupakan putera kedua Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti, Kuala Pilah dari tahun 1928 hingga 1933 dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1933 hingga 1944.

Kemudian, baginda melanjutkan pelajaran ke Raffles College Singapura pada tahun 1941, tetapi ia terganggu apabila meletusnya Perang Dunia Kedua.

Semasa pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah, Seremban manakala dari 1946 hingga 1947, baginda bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Rembau, Negeri Sembilan.

Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan di Ipoh dan Pegawai Daerah di Tampin, Negeri Sembilan.

Tuanku Ja'afar meneruskan pengajian yang tertangguh disebabkan Perang Dunia Kedua, dengan memperoleh Ijazah Undang-undang LL.B di Universiti Nottingham, United Kingdom pada tahun 1951.

Semasa berada di Britain, baginda juga mengambil peluang untuk mengikuti beberapa kursus ikhtisas seperti Kursus Pentadbiran di Balliol College Oxford, Kursus Bidang Ekonomi dan Diplomat di Universiti Oxford.

Sebagai seorang yang dinamik dan berfikiran luas, baginda telah diamanahkan menjawat beberapa tugas penting di luar negera; antaranya sebagai Kuasa Usaha Tanah Melayu di Washington, Amerika Syarikat dan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa Bangsa Bersatu di New York dari tahun 1957 hingga 1958.

Baginda juga berkhidmat sebagai Setiausaha Pertama dan Kounselor di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Tanah Melayu di London, dan kemudian pada tahun 1958 hingga 1962 sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London.

Baginda dilantik sebagai Duta Malaysia di Republik Arab Bersatu yang beribu pejabat di Kaherah dari tahun 1963 hingga 1965 dan Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria dan Ghana dari tahun 1965–1967.

Tuanku Ja'afar menjadi Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 16 April 1976 dan sering menggesa supaya mutu pendidikan negara dipertingkatkan.

Baginda dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-Undang oleh beberapa universiti seperti Universiti Filipina (27 Julai 1990), Universiti Nottingham (21 Julai 1995), Universiti Santiago, Chile (28 September 1995) dan Universiti Brunei Darussalam (11 September 1996).

Baginda pernah menerima Anugerah Pingat Keamanan Dunia Sri Chin Moy Centres International pada 11 Disember 2005 yang disampaikan oleh Sri Chin Moy yang mengasaskan pertubuhan antarabangsa itu sebagai menghargai sumbangan dan jasa baginda dalam kemajuan pendidikan, perkhidmatan awam, sukan, serta memartabatkan nama Negeri Sembilan dan Malaysia di mata dunia.

Tuanku Ja'afar dan keluarga juga turut dikenali sebagai "Keluarga Diraja Sukan" kerana baginda sekeluarga meminati sukan kriket, tenis, badminton, skuasy, hoki dan golf di dalam dan luar negara.

Baginda meninggalkan Tuanku Ampuan, Tunku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, tiga putera dan tiga puteri iaitu Tunku Dara Naquiah, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin, Tunku Imran, Tunku Jawahir, Tunku Irinah dan Tunku Putera Nadzaruddin.



Share/Bookmark

0 comments: