7:10 PM

PAS dihormati kerana ulamanya : Pak Subky Latif

PAS dihormati kerana ulamanya, selamat bermuktamar

SUBKY LATIF | .
DIUCAPKAN setinggi tahniah kepada PAS yang bermuktamar kali ke-60 di Batu Pahat tahun ini, moga-moga ia diberkati dengan limpahan mardhatillah.
  
Selalunya PAS bermuktamar di Kuala Lumpur dan negeri-negeri sebelah utara ibu kota. Kali ia beralih ke selatan buat pertama kali dalam usianya 63 tahun. Moga-moga ia satu isyarat pengaruh parti Islam ini mencecah pantai Selat Teberau.
   
Parti politik Islam yang ditubuhkan para ulama ini sedang diberi perhatian oleh semua bagaimana ia dapat membantu Islam sejagat menjadikan abad hijrah ke-15 yang sudah berlangsung 45 tahun itu sebagai giliran Islam menentukan paksi dunia buat kali kedua selepas hijjrah Rasul SAW ke Madinah.
   
Bagaimana PAS mengisi agenda programnya sedang diperhatikan oleh kawan dan lawan.
   
PAS tidak merancang muktamarnya di Johor menjadikan medan bermuhasabah setelah kira-kira tiga bulan ia diperkata dan dibicarakan oleh semua bersabit isu Langkah Kajang dan krisis Menteri Besar Selangor. Belum pernah ia dibicarakan sebahagian penyokongnya, sekutu Pakatannya, musuh tradisinya Umno dan rakyat semua kaum.
  
Tiga bulan ini adalah tempoh ujian besarnya, dengan agenda politik yang tidak pernah dirancangnya telah menjadikannya terkeluar daripada kepompong yang selama enam tahun ini ia dikira oleh kebanyakannya sebagai parti pak turut dalam kerabat Pakatan Rakyat.
  
Dengan sikapnya tentang isu MB Selangor yang menjadi inti Langkah Kajang, sekali pun pengendalian seperti kurang terurus dan mengelirukan semua, tetapi itu yang membebaskannya daripada belenggu parti pak turut itu. Itulah yang menyebabkan ia dan kepimpinan ulamanya dituju dari kiri dan kanan.
  
Pertama kali sejak era kepimpinan ulama 32 tahun lalu kesatuan pimpinannya tercabar, ulama dan non-ulama tidak dilihat sejalan, tiba-tiba ulamanya dikira konservatif dan non-ulama yang puluhan tahun menghabiskan masa dalam parti jatuh wibawanya pada setengah penyokong. Ia suatu yang tidak pernah berlaku selama 32 tahun yang lalu.
  
Mengapa gara-gara krisis MB Selangor itu PAS ditimpa krisis keyakinan dalaman? Sepatutnya krisis keyakinan itu berlaku semasa ia dibelenggu imej parti pak turut, tetapi ia tercabar setelah bebas daripada imej pak turut.
   
Tidakkah ia gara-gara perhatian kepada konsep kepimpinan ulama bagi parti itu mulai longgar kepada semua? Krisisnya tahun 70-an diatasi dengan parti menyanjung tinggi pimpinan ulama sekalipun imej ulama sebelumnya adalah rendah, dan dalam kewaspadaan itu PAS mendaulatkan ulama. PAS jadi jamaah yang kukuh.
   
Tidakkah tumbuhnya rasa acuh tak acuh kepada wibawa ulama itu melemparkan semula PAS ke masa kecelaruan sebelum era kepimpinan ulama? Ini yang muktamirin di Batu Pahat perlu muhasabah. Yang tercabar sekarang bukan sekadar ulamanya, sekalian profesional non-ulama yang menjadi tunjang ikut menerima tempias.
   
Semua ini adalah amaran awal kepada PAS. Semuanya mesti kembali kepada semangat Muktamar 1982 bagaimana ulama mesti didaulatkan sekalipun semua maklum akan wibawa dan keupayaan ulama itu dulu, sekarang dan akan datang.
 
 Percayalah dengan semua lapisan dalam PAS daripada nelayan, pemandu lori dan teksi, peguam dan jurutera, ustaz dan lebai meletakkan ulama di tempat yang betul, bantuan Allah tetap akan datang melimpah, segala yang dirasakan keliru aras krisis MB Selangor oleh banyak pihak itu akan bertukar menjadi cahaya yang benar, hingga semua tidak merasa rugi berteduh di bawah payung PAS.
  
Jika PAS sendiri keliru dengan ulama, jangan fikir dunia akan memuliakan ulama. Kalau PAS melihat ulama dengan sebelah mata, di luar PAS nescaya semua menutup mata. Mulianya PAS kerana ulamanya. Muktamar ke-60 ini di Batu Pahat ini dipercayai dapat mencerahkan semula semua bahawa PAS adalah sama tinggi dengan lain kerabat Pakatannya, tiada lagi parti pak turut. –HARAKAHDAILY 17/9/2014


Share/Bookmark

0 comments: