12:14 AM

Jika PAS jadi MB Selangor : Subky Latif

Jika PAS jadi MB Selangor

SUBKY LATIF | .
ORANG PAS jangan berkelahi kiranya Sultan Selangor memperkenan PAS jadi Menteri Besar Selangor yang baru. PAS mesti terbuka menerimanya sebagai satu jalan keluar bagi menyelesaikan puaka Langkah Kajang yang menyusahkan semua orang itu.
  
Kita semua tahu siapa pun yang menjadi Menteri Besar sekarang akan menjadi Selangor terus bergolak.
  
Sesudah sekian lama Sultan bertahan mahukan Pakatan memberi lebih daripada satu calon, saya tidak tefikir baginda akan akhirnya perkenan pada calon tunggal yang asal.
  
Calon terdekat seperti yang mula dicadangkan oleh PAS, Azmin Ali, katakan sekalian ADUN tidak mentakwilnya, mulai ada pula takwil daripada PKR sendiri tentang peneriman Azmin itu mempersenda keputusan awal PKR yang menamakan satu calon saja. Kemungkinan Azmin juga akan menimbulkan krisis seperti Khalid juga.
   
Akhirnya pentadbiran Selangor akan hancai juga.
   
Katakanlah PAS yang ditunjuk. Dipercayai umum rakyat akan menerimanya, tetapi semua tahu PKR dan DAP yang menguasai majoriti DUN tidak akan setuju selain daripada Dr. Wan Azizah.
  
Menteri Besar Pakatan Selangor itu bukan hak dan pusaka bagi mana-mana parti dalam komponen itu. Ia disetujui dalam PRU 2008 dulu kerana PKR punya ADUN lebih dari parti lain. Untuk berbaik sangka dan menghormati Anwar Ibrahim sebagai pencetus Pakatan Rakyat, maka wajarlah diberi kepada PKR supaya semua pihak dalam Pakatan merasa kuih kemenangan itu.
   
Maka tidak boleh parti itu mengira ia sebagai hak istimewanya seperti Melayu hak istimewa yang tidak boleh diusik. Siapa yang mengusiknya melanggar akta hasutan. Menteri Besar Selangor itu hak semua tetapi masa tenang ada kebijaksanaannya memberi penghormatan kepada PKR sekalipun dalam PRU lalu kerusinya sudah kurang daripada yang lain.
  
Itu masa tenang. Tetapi selepas itu timbul masa huru-hara. Maka tidak boleh dalam masa huru-hara semuanya hendak besar kepala. PAS pun manusia juga. Kalau orang kata ia begitu dan begini, ia pun ada hak juga. Cuma ia hendak menuntut atau tidak. Macam Pulau Spratly, semua negara pantai Laut China Selatan merasa ada hak. Semua menuntut.
  
Sehingga saat ini pun PAS masih mahu menjaga hati PKR, tidak bulat mahukan jawatan itu. Bukan kerana ia harta pusaka PKR tetapi menjaga hati dan harmoni, biarlah keutamaan diberi kepada PKR tetapi biarlah calon MBnya disepakati semua.
  
PAS mahu menjaga hati semua termasuk Sultan. PAS tiada masalah dengan Istana Selangor. Sesudah Pakatan buntu atas isu MB itu, kepada siapa lagi hendak mengadu selain berhakimkan Raja. Ia sikap yang bijak.
  
Menuntut kerusi MB dalam masa bergolak bukan kerja yang bijak. Maka PAS tidak menuntut. Tetapi jika yang Allah takdir! Jika Istana minta PAS, maka pantang Melayu derhaka. PAS terpaksa terima dengan tanggungjawab yang berat. Ia tidak bertujuan menyinggung PKR dan DAP, tetapi mahu membantu Sultan  menghadapi tempias krisis Pakatan Rakyat itu.
   
PAS tahu ia tetap tidak mendapat sokongan yang lain dan ia tidak menyelesaikan krisis yang ada. Tetapi menerimaannya itu adalah atas tanggungjawab bagi mengeluarkan Selangor daripada kebuntuan orang yang tidak mahukan Khalid Ibrahim lagi.
  
Selepas MB PAS mengangkat sumpah, Menteri Besar itu pun boleh menasihatkan Sultan membubarkan DUN bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri. PAS dan exconya menjadi kerajaan sementara.
  
Lepas itu semua senang, moga-moga semua senang. Sultan senang. Khalid pun senang. Semua parti senang. – HARAKAHDAILY 22/9/2014

Share/Bookmark

0 comments: