11:48 PM

Saya pun setuju ratusan peratus


Mufarakah yang menyusah orang lain

SUBKY LATIF | .

TIDAKLAH saya hendak membangkit dan memburukkan dua ADUN PAS Selangor yang bercadang mufarakah daripada jemaah Islam kita itu, tetapi sekadar hendak menyatakan bahawa pendirian yang pernah mereka nyatakan dalam saat krisis Embi negeri itu telah menyusahkan orang lain yang berada dalam PAS, yang mereka itu ada latar belakang sejemaah dengan keduanya.
  
Ramai mana? Tidak pula didaftarkan kerana PAS tidak perlu mangasingkan orang-orangnya dalam kelompok yang berbeza-beza. Mereka itu ramai. Asal ahli, berbakat dalam perjuangan, solat dan puasa adalah memadai dan boleh diberi kepercayaan. Dipercayai ada dalam semua tingkat parti.
   
PAS kira-kira hampir 30 tahun dulu kurang berminat dengannya sekali pun antaranya adalah anak dan menantu orang-orang PAS. Sekalipun PAS itu sudah setengahnya sejak sebelum mereka lahir, tetapi belum masa untuk menjadi PAS kerana belajar, mereka lebih dulu menjadi anggota kumpulan itu.
   
Sebagai keturunan orang PAS, tidaklah mereka membawa bendera Umno ke dalam rumah ibu bapa mereka, tetapi mereka sudah ada pandangan dan sikap lain terhadap perjuangan ibu bapa mereka. Sekalipun mereka menyertai PAS dan diberi amanah, tetapi jika bertembung program PAS dengan kegiatan kumpulannya, tiadalah mereka bersama PAS. Dan yang diberi amanah, kurang merancang  kegiatan PAS dari mereka merancang kegiatan sendiri.
  
PAS setengah negeri tidak memberi mereka peranan penting, memadailah menjadi ahli. Tidak nafikan mereka ada membuat banyak kebaikan dalam jemaah mereka. Mereka buat sekolah Islam yang elok di banyak tempat. Saya tahu itu sekolah mereka, pelajarannya baik, saya hantar anak-anak saya ke tadika dan sekolah rendah mereka. Hingga ada Pemuda PAS di luar negeri bersungut sebagai pemimpin PAS anak saya ke sekolah mereka. Itulah teruknya hubungan sesama Islam apabila berada dalam jemaah yang berbilang-bilang.
   
Di Kuala Lumpur, saya memberi peluang dan ruang kepada semua. Antara orang yang membangunkan cerucuk Markaz PAS Pusat Taman Melewar itu adalah jurutera muda mereka. Ketika saya hendak memulakan Harakah, mereka sumbangkan kumputer. Sampai sekarang saya tidak menaruh kesangsian dan terus menghantar cucu ke tadika mereka sekalipun ada PASTI berdekatan.
  
Mengapa? Sebab saya mahu hubungan yang selesa dengan orang Islam selain dari Umno. Kalau saya boleh bergaul dengan Umno, mengapa saya tidak boleh menghormati mereka.
  
Saya tahu masa itu Ustaz Fadzil acap memberi ingatan kepada penyokong PAS, barang siapa menyertai PAS, hendaklah mereka meninggalkan jemaah mereka. Pandangan Ustaz Fadzil itu adalah membayangkan seriusnya pandangan PAS terhadap jemaah lain yang hendak menyertai PAS.
   
Satu pasangan aktivis PAS, anak menantunya orang PAS yang rapat dengan saya, sentiasa bersama dalam kegiatan di Kuala Lumpur pindah ke Kelantan apabila negeri diperintah PAS semula untuk berkhidmat dalam jemaah di situ. Saya dengar dia tidak dilayan oleh orang-orang di situ kerana latar belakang jemaah tadi. Baru-baru ini saya terserempak dengannya di Putrajaya. Dia sudah balik ke Lembah Kelang. Saya diberitahu anak menantu orang PAS itu sudah jadi Umno.
   
Masa beredar dan perkembangan pesat dan berubah. Peka atas pengalaman silam jemaah lain itu cair. Jemaah itu acap bertukar baju dan nama. Sekalipun ada sisa kecurigaan itu di tempat tertentu, PAS tidak mengira sangat titik bengik dulu. Mereka yang terjun ke dalam PAS tidak ditakwil lagi sekalipun jemaah lama terus dengan sikap non-partisan dalam politik.
   
Tetapi dengan kejadian dua ADUN tadi amat meranjatkan hingga ada yang berfikir kebimbangan lama terhadap kumpulan itu seperti ada asasnya. Ini boleh menyusahkan rakan sejemaah mereka yang istiqamah dalam PAS, susah jika ada yang mentakwil kesetiaan mereka. Itulah yang timbul ekoran daripada sikap keduanya. Saya tetap pilu tentangnya. –HARAKAHDAILY 26/8/2014

Share/Bookmark

0 comments: