Menepuk tangan terbalik adalah suatu pemandangan yang biasa kita temui. Lazimnya ia berlaku di dalam majlis yang bersifat Islamik, dan hadirinnya oleh mereka yang berakhlaq dengan akhlaq Islam. Namun, sejauh manakah bertepuk tangan terbalik itu menjadi sebahagian daripada akhlaq Islam?
PANDANGAN ISLAM
Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu. [Al-Anfaal 8: 35]
Kalimah Mukaa’ di dalam ayat ini bermaksud perbuatan bersiul-siul. Manakala kalimah Tasdiyah itu pula bermaksud menepuk-nepuk tangan.
Kedua-dua perbuatan ini dilakukan oleh kaum Arab Jahiliah dengan maksud pengabdian mereka di dalam ritual di keliling Kabah. Ia dicela oleh Allah SWT, di samping tawaf jelek yang mereka lakukan dalam keadaan bertelanjang.
Sebahagian ulama’ meluaskan maksud bertepuk tangan di sini secara menyeluruh kepada keseluruhan perbuatan bertepuk-tepuk tangan. Justeru perbuatan ini dianggap terlarang, atau sekurang-kurangnya makruh di sisi Islam.
Apakah lagi kebiasaan bertepuk tangan diasosiasikan dengan perempuan. Sama ada kerana peruntukan syara’ untuk perempuan membetulkan Imam dengan menepuk tangan, atau pun kerana budaya masyarakat Arab yang menjadi kelaziman kaum perempuan di dalam keraian mereka sering bertepuk tangan untuk berhibur.
Pandangan seperti ini dikemukakan, antaranya oleh Sheikh Ibn Baaz di dalam Fataawa Islamiyyah, j. 4, ms. 332-333.
Justeru alternatif kepada perbuatan menepuk tangan untuk merai atau menunjukkan penghargaan kepada sesuatu, wajar dilakukan dengan melafazkan Allahu Akbar, atau kalimah-kalimah pujian biasa seperti “bagus”, “well done” dan yang seumpama dengannya.
PANDANGAN KEDUA
Akan tetapi, bagi Sheikh `Atiyyah Saqr dari Jawatankuasa Fatwa al-Azhar, perbuatan bertepuk tangan yang ditegah itu adalah bertepuk tangan yang bermaksudkan ibadah, mendekatkan diri kepada Allah, kerana sesungguhnya ia adalah cara jahiliah yang tidak harus bagi seorang Muslim menirunya.
Walau bagaimana pun menepuk tangan di dalam kehidupan harian, atau majlis-majlis biasa, tiada sebarang nas yang menegahnya, maka ia mengambil hukum HARUS yang asal.
Akan tetapi, untuk majlis yang diadakan di dalam masjid, dengan suasana manusia beribadah secara khusus kepada Allah, bertepuk tangan bukanlah sesuatu yang molek untuk dibiasakan.
Justeru, pada ruang yang ada ini, pilihlah di antara bertakbir atau dengan kalimah-kalimah yang menyuntik semangat serta penghargaan, atau bertepuklah tangan seadanya.
Ada pun bertepuk tangan secara terbalik, ia suatu keganjilan yang tidak harus dinisbahkan kepada akhlaq Islam hingga menimbulkan sangkaan bahawa itulah cara yang diajar oleh Sunnah.
Adaptasi dari Saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment