9:29 PM

Eidul Adha 1429 hijrah




Hari wuquf di Arafah bermula pada ahad 7 Dis 2008 jam lebih kurang 5.21 ptg di malaysia.Ini bermakna kita di Malaysia akan menyambut eiduladha pada isnin 8/12.Pada hari tersebut ramai diantara kita yang melakukan ibadah korban.Ada yang melakukan dengan seekor lembu dan ada yang melakukan sebahagian dari tujuh bahagian.Semuanya diterima cumanya hendaklah ikhlas.

Tertarik aku dengan konsep gotong-royong melakukan ibadah tersebut di surau-surau atau mesjid.Di sana mereka melakukan secara bergotong-royong dan seterusnya menyerahkan daging-daging korban untuk diagihkan kepada yang berhak oleh ahli jawatankuasa mesjid atau surau.Sebahagian kecil diambil oleh mereka yang melakukan korban tersebut untuk dimakan oleh ahli keluarga masing-masing.

Cara ini lebih nampak dari segi keberkesanannya kepada ibadat itu sendiri dimana bertujuan untuk mengembirakan manusia sejagat disamping ikhlas diri kita kepada Allah.Cumanya dalam mengagihkan tersebut sesuatu yang seharusnya kita tidak lupa ialah jangan berlaku berat sebelah atau kata orang putih bias yang boleh menjejaskan perasaan sesetengah orang.Sebagai contoh kita selalu mengecualikan pemberian kepada mereka yang kita nilai sudah berada sedangkan semasa memerlukan sesuatu samada dalam bentuk pertolongan kebendaan atau sebagainya orang-orang yang sebegini yang kita cari dahulu untuk kita minta darinya,tetapi dalam memberi kita sering melupakan mereka atas alasan mereka orang ada.Aku menilai sikap seperti ini adalah silap dan perlu diperbetulkan...sekian.
Share/Bookmark

Read more...

5:21 PM

Berubat dengan Air zamzam

'Tak makan ubat pun takpa, Air Zamzam kan ada" jawab seorang jemaah semsa mendapat rawatan di klinik Maktab.

"Pak Cik dah seminggu tak makan ubat!'' Ujar seorang lagi jemaah.

''Nak test...Ustaz kata Air Zamzam tu ubat segala ubat'' Tambahnya lagi dengan penuh yakin.

“Tapi..saya periksa tekanan darah Pak Cik dan paras gula ni tinggi sangat.” Aku mula sangsi dengan jemaah yang berkata demikian.


Apa bentuk nasihat yang patut aku berikan kepada jemaah haji sebegini. Mengiyakan pegangan mereka seolah-olah membiarkan mereka ingkar dari memakan ubat Kencing Manis atau Darah Tinggi. Menidakkan fahaman yang mereka pegang, seolah-olah menolak sabdaan Nabi mengenai khasiat Air Zam-zam! Malah ada diantara mereka yang meninggalkan terus dari memakan ubat penyakit kronik yang mereka alami sepanjang hidup mereka. Kefahaman yang mereka perolehi ini menyulitkan pihak perubatan untuk member nasihat dan memberi hujah yang kukuh. Mengakibatkan penyakit yang mereka alami sebelum ini menyerang kembali dan akhirnya mengganggu ibadah haji dan umrah yang mereka tunaikan.

Air Zamzam ada disegenap tempat di Tanah Suci. Memperolehinya begitu senang sekali samada di hotel tempat menginap mahupun di dalam Masjidil Haram. Pendek kata jika ubat kencing manis yang sepatutnya dimakan tiga kali sehari boleh ditukar begitu sahaja dengan Air Zamzam bergelas-gelas, lebih dari tiga.


Keyakinan Air Zamzam Sebagai Ubat.



Tidak dinafikan bahawa Air Zamzam mempunyai keistimewaan yang tersendiri, sehingga Nabi pernah menyebut akan keistimewaan ini.



ماءزمزم لماشرب له

Ertinya: Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Diriwayatkan dari Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)

Kelebihan ini tidak akan diperolehi pada air lain diatas dunia ini. Seorang pengkaji bernama Tariq Husin pernah mengkaji kelebihan air zam zamzam ini. beliau menyatakan bahawa air Zamzam ini mengandungi garam mineral seperti kalsium dan Magnesium yang tinggi. Sesuai untuk jemaah haji mengerjakan kerja-kerja haji dan Umrah. Amat menakjubkan juga Air Zamzam mengandungi florida dan klorin yang paling sesuai untuk semua makhluk . Sedangkan air Zamzam ini adalah air yang asli, tidak pernah dirawat atau diproses oleh teknologi terkini.

Ahli-ahli ilmu telah meluaskan huraian mereka mengenai dengan hadis di atas. Al-Munawa Rahimahullah Ta'ala telah berkata:

"Air Zam zam ialah penghulu segala air, paling mulia, paling berharga dan paling disukai. Allah Ta'ala telah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan air Zamzam. Maka begitulah pertolongan yang seperti itu juga boleh diperolehi oleh orang-orang yang selepas baginda, iaitu bagi sesiapa sahaja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk juga kita. Ramai para ulama telah meminumnya kerana sesuatu hajat, dan mereka itu berhasil memperolehinya."



Berkata al-lmam an-Nawawi Rahimahullah sebagai mengulas hadis di atas:



"Maknanya, barangsiapa yang minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperolehi hajatnya itu, Hal ini, telah dicuba oleh para ulama dan orang-orang saleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun hajat dunia, dan Alhamdulillah, semuanya telah memperolehinya." (Lihat Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139).



Al- 'Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah pula berkata:



"Saya dan juga orang-orang lain sudahpun mencuba berubat dengan air Zamzam. Saya telah berubat dengannya dalam banyak penyakit, dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya sudah menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air Zamzam hampir setengah bulan atau lebih , tetapi tidak merasa lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa."

Menambah lagi al-'Allamah: "Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali, kemudian saya minum, lalu saya mendapati kesembuhan yang sempurna. Semenjak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat." (Lihat Zadul Ma'ad 4/718)


Air Zamzam tiada keistimewaan jika tidak berusaha



Meminum air zamzam untuk mendapatkan manafaat dunia atau akhirat tidak akan berhasil jika tidak kena cara dan tidak mematuhi konsep memohon sesuatu permintaan. Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Begitu juga dengan berubat, ia tidak akan berhasil tanpa melakukan usaha lain. Kalau betul kita merasakan cukup dengan air zamzam sahaja boleh menyembuhkan penyakit, Kerajaan Arab Saudi sepatutnya mengharamkan hospital dan farmasi. Malah Kacip Fatimah dan Minyak Dhab tidak perlu dijual di Bukit Uhud.



Konsep sebenar yang perlu ada bagi seorang muslim adalah air zamzam itu adalah salah satu ikhtiar dalam berubat. Cuba perhatikan betul-betul tulisan Ibnul Qayyim

...Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali......

Maksudnya beliau telah berusaha mencari ubat dan doktor serta sudah tiada ikhtiar lain dalam menyembuhkan penyakit yang dialami. Air Zamzam menjadi alat untuk berubat pada saat itu. Ianya juga perlu di sertai dengan niat dan keyakinan yang tinggi akan janji Rasulullah tersebut.



Konsep ini sama juga dengan permohonan-permohonan lain semasa meminum air zam-zam. Cuba lihat apa yang dinukilkan oleh Imam Al-Jalal Assayuti;

"Dengan memuji Allah Ta'ala, saya sudah musafir ke negeri-negeri Syam, Hijaz, Yaman, India dan Maghribi. Apabila saya menunaikan haji, saya telah minum air Zamzam bagi beberapa perkara yang berikut, antaranya: Agar saya sampai (mahir) dalam ilmu fiqeh sehingga mencapai mertabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini. Dalam ilmu hadis sehingga saya mencapai mertabat al-Hafiz lbnu Hajar." (Lihat Husnul Muhadharah 1/215 dan 2/296).

Imam As Sayuti tidak menjadi ulamak besar semata-mata dengan meminum air zamzam, tetapi perlulah disusuli dengan mengadap guru, menelaah kitab dan mengikuti perbincangan ilmiah. Ilmu tidak datang bergolek tanpa usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal. Air Zamzamlah sebagai pemacu kepada usaha dan ikhtiar itu.



Inilah ulasan saya ketika bersemuka dengan jemaah haji yang mmeberikan alasan meminum Air Zamzam menggantikan ubat biasanya.

Di tulis oleh Dr Suhazeli Abdullah sumber Tranungkite
Share/Bookmark

Read more...

6:44 PM

Rahsia kelebihan Solat Tahajud

" Pada paras alfa, frekuensi otak berada dalam lingkugan 7 hingga 14 kitaran persaat. Paras ini merupakan paras seseorang dapat berhubung dengan minda bawah sedar dengan aktif. Pada paras ini seseorang akan berada dalam keadaan pertengahan antara 'sedar dengan lena'. Aktiviti minda pada ketika ini dalam keadaan tenang,santai dan rehat. Pada tahap ini anda akan berada dalam tahap kesedaran yang tinggi.


Paras alpha amat penting kerana anda dapat meneroka dan mengekstrak kemampuan minda anda. Pada ketika ini minda dan jiwa anda begitu hening sehingga anda berada pada tahap fokus yang tinggi. Fikiran anda begitu terang dan jelas dan mampu menjana minda bawah sedar pada tahap yang tinggi

Paras ini adalah sepertimana anda hampir-hampir hendak tertidur. Malangnya anda tidak dapat kekalkan keadaan ini. Hanya waktu yang singkat sahaja anda berada pada paras alfa ,lalu anda tertidur.Ini berlaku secara semulajadi.

Walaubagaimanapun, paras alpha boleh dicapai dengan menurunkan secara sengaja frekuensi otak ke tahap yang lebih rendah daripada keadaan sedar.

Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu mengatakan bahwa Rasulullah bersabda, 'Tuhan kita Yang Mahasuci dan Mahatinggi turun ke langit dunia. setiap malam ketika tinggal sepertiga malam yang akhir dengan berfirman, 'Siapakah yang mau berdoa kepada-Ku lalu Aku kabulkan? Siapakah yang mau meminta kepada-Ku lalu Aku kabulkan? Siapa yang mau meminta ampun kepada-Ku lalu Aku ampuni?'"

Salah satu caranya ialah dengan anda melakukan qiaimulail. Pada ketika ini apabila anda bangun tidur terutamanya pada pertengahan malam, otak anda dalam keadaan hening dan tenang. Paras kortisol amat rendah pada waktu ini.

"Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.
(SUrah Huud:114)

Anda sebenarnya masih dalam keadaan yang mengantuk seperti mahu tidur lagi.Apabila anda melaksanakan solat tahajud misalnya, anda seperti hendak tertidur tetapi masih dalam keadaan berjaga.Pada ketika ini anda sebenarnya berada pada pertengahan antara sedar dan lena yang mana anda sebenarnya pada pada tahap frekuensi alpha . BIla anda dengan sengaja melakukan solat tahajud, anda dapat berada lebih lama dalam keadaan alpha.

Inilah salah satu rahsia kehebatan solat tahajud pada ketika kita melakukan qiaimulail.Begitu juga dengan amalan-amalan berzikir,membaca alquraan, muhasabah diri dan beristiqfar pada melakukan ibadah qiaimulail pada pertengahan malam adalah merupakan aktiviti yang mana meletakkan anda pada tahap paras alpha.


وَبِاللَّيْلِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
dan di waktu malam. Maka apakah kamu tidak memikirkan?
Ash-Shaaffat (37)

Pada tahap ini kesedaran dan fokus anda anda begitu tinggi hinggakan emosi anda akan lebih jelas iaitu seperti apabila anda mengenangkan dosa-dosa dan takut kepada azab Allah , hati anda akan mudah tersentuh dan anda benar-benar dapat merasakan kehebatan,kebesaran dan keagungan Allah. Mata hati anda akan menjadi terang supaya anda benar-benar bersungguh-sungguh untuk membuat persediaan bekalan untuk menghadapi kematian anda pada bila-bila masa .

sumbangan artikel blog cahaya akal http://mindataqwa.blogspot.com
"
Share/Bookmark

Read more...

4:43 PM

Tuan Guru Haji Bidin: Pengasas PAS Terengganu

Maklumat Oleh Mohd Fadli Ghani

PAS Terengganu telah mengadakan sambutan Jubli Emasnya di Dungun dua tahun lalu. Sambutan ini dibuat di tempat ia ditubuhkan iaitu Surau Haji Bidin, Sura Gate. Kira-kira 50 tahun sebelum itu, iaitu pada 6 Julai 1956, satu perjumpaan 24 orang pemuda Islam telah diadakan di surau ini yang dikenali juga sebagai Madrasah az-Zainiyah dengan dipimpin oleh Tuan Guru Haji Bidin.

Dalam perjumpaan ini, cawangan PAS yang pertama di Terengganu telah berjaya ditubuhkan dan dinamakan sebagai PAS Cawangan Dungun dengan Tuan Guru Haji Bidin sebagai Yang Dipertuanya. Inilah bermulanya sejarah PAS Terengganu sebelum ia menjadi kubu kuat PAS hari ini.

Tuan Guru Haji Bidin atau nama sebenarnya, Zainal Abidin bin Aman bin Mat Ali ialah seorang ulama yang terkenal di Terengganu. Beliau dilahirkan pada 1893 di Kampung Tasik, Wau, Ulu Dungun. Ibunya, Saadiah Jaafar ialah seorang ibu tunggal setelah suaminya meninggal dunia, tetapi kemudian berkahwin dengan Hamzah, iaitu datuk kepada bekas Bendahari Agung PAS, Ustaz Abdul Wahab Yunus.

Haji Bidin menjadi anak yatim semenjak kecil, tetapi mendapat didikan agama daripada ibunya. Ketika berusia 11 tahun, belia dihantar belajar dengan Haji Taib Hassan dan Ustaz Baki Awang di Kampung Sindol. Pada 1906, beliau memasuki Pondok Pulau Serai dan berguru dengan Tuan Guru Haji Yusof bin Lebai Isa selama enam tahun.

Setelah itu beliau berhijah pula ke Pondok Losong untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong yang terkenal itu. Dua tahun di pondok ini, pada 1914, Haji Bidin berpindah ke Kelantan kerana tertarik dengan kemasyhuran Tok Kenali. Beliau sempat berguru dengan Tok Kenali di Pondok Kenali sehingga 1926. Beliau sempat belajar bersama-sama Sheikh Idris Marbawi dan Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Mursyidul Am PAS).

Di samping itu, beliau berulang-alik ke Masjid Muhammadi kerana berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Haji Yaakub Legor. Di Pondok Kenali ini, Haji Bidin telah menjadi kepala telaah dan sempat mengajar Mufti Haji Ahmad Maher selama enam tahun. Pengajian beliau tamat pada 1926 kerana Tok Kenali menyuruh beliau balik ke Dungun membuka pondok.

Selepas beberapa ketika mengembara, sekitar 1927, Haji Bidin mula mengajar dan membuka pondok di Hulu Sungai Penaga. Ketika yang sama beliau telah dilantik menjadi Imam Muda Masjid Kampung Tengah, Kuala Dungun. Ketika menjadi imam di sini, Haji Bidin telah berhadapan dengan beberapa masalah amalan khurafat dan ajaran sesat, tetapi berkat usaha gigihnya, beliau berjaya mengatasi masalah ini.

Tujuh tahun kemudian, Haji Bidin telah membuka pondok baru di satu kawasan yang dikenali sebagai Tanah Lot. Pada 1938, sebuah madrasah telah berjaya disiapkan sebagai tempat pengajian. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai imam di Kampung Tengah sehingga 1951. Selepas bersara sebagai imam, Haji Bidin sekali lagi memindahkan pondoknya ke Sura Gate, dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali sebagai Madrasah az-Zainiyah yang suraunya masih wujud hingga hari ini.

Haji Bidin mengajar beberapa cabang ilmu yang penting dalam pengajian Islam seperti fiqh, hadis, nahu, tafsir, balaghah, mantiq dan lain-lain. Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah Matan Ajrumiah, Azhari, Qatr, Syuzuz al-Zahab, Ibnu Aqil, Asymuni, Sittin, Fathul Muin, Tahrir, Mahalli, Iqna?, Fathul Wahab, Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Ibni Ibad, Iqaz al-Himam, Jauhar al-Mauhub, Siyarus Salikin dan lain-lain.

Beliau juga berjaya melahirkan ramai murid yang terkenal termasuk Ustaz Omar Shukri Embong (bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun yang juga pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Haji Bidin, selain terkenal kerana alim dalam bidang agama dan menjadi imam di masjid, turut dihormati kerana memiliki keramat tertentu. Banyak cerita yang diriwayatkan tentang keramat yang dimiliki oleh beliau, antaranya tidak ditimpa hujan ketika menaiki perahu bersama kitab-kitabnya walau hujan sedang lebat. Pernah juga berlaku percubaan melanggar beliau dengan kereta, tetapi niat jahat itu terhalang kerana enjin kereta tersebut mati dan ia hanya boleh dihidupkan setelah orang tersebut memohon maaf kepadanya.

Beliau juga dikatakan boleh mengangkat kayu besar seorang diri. Cerita-cerita kekeramatan beliau ini telah menyebabkan beliau amat disegani oleh masyarakat di Dungun. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang warak, lemah lembut, tidak pemarah dan tidak suka bercakap banyak. Beliau dikatakan mengikut perangai Tok Kenali.

Kerana gurunya seorang yang minat politik, Haji Bidin turut mewarisi minat ini di mana beliau semenjak di Kenali lagi sudah mula menulis dalam akhbar Majlis. Beliau tertarik dengan perkembangan politik di Istanbul tetapi keras menolak fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal Ataturk.

Sejak muda, kecenderungan beliau adalah politik Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Tetapi pada peringkat awal, beliau menyokong Umno untuk menghalau British, bahkan turut berkempen dalam pilihan raya 1954 untuk menyokong Ustaz Mohd Taib Sabri menentang calon Parti Negara. Tetapi pada 1956, setelah PAS mulai berkembang, Haji Bidin bersetuju dengan gagasan politik yang dibawa oleh Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Datuk Mohd Asri Muda.

Atas usaha gigih beliau mengumpulkan pemuda-pemuda yang berminat dengan politik Islam, maka satu perjumpaan diadakan di suraunya di Sura Gate. Hasilnya, PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan sebagai cawangan pertama di Terengganu. Haji Bidin diberikan amanah sebagai Yang Dipertua PAS Dungun untuk satu tempoh yang lama. Beliau melepaskan jawatannya pada 1971 kerana uzur, tetapi terus komited dengan perjuangan PAS.

Enam tahun kemudian, iaitu ketika muridnya yang juga anak saudaranya, Ustaz Abdul Wahab Yunus sedang memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Haji Bidin telah jatuh sakit dan meninggal dunia di rumah anaknya, Haji Anuar di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ramadan pada 20 Ogos 1977 dan dikebumikan di perkuburan Syed Yahya, Dungun. - tajdid _


sumber Tranungkite online
Share/Bookmark

Read more...

8:30 PM

....!!!!!! bacalah baru tau

“Beruntunglah si anak yatim,” saya berbual dengan seorang apprentice yang berkunjung ke rumah.

“Kenapa pula untung ustaz?” beliau nampak sedikit terkejut dengan kenyataan saya.

“Masakan tidak beruntung, derita hidup tidak beribu dan bapa, terlalu kecil berbanding hukuman Allah ke atas anak durhaka!” saya menjawab.

Beliau diam seketika.

“Maksud ustaz, lebih beruntung hidup tanpa ibu bapa?” tanyanya.

“Anak-anak beruntung ada ibu bapa. Tetapi ibu bapa belum tentu beruntung dikurniakan anak-anak. Hari ini ramai anak benci dengan ibu bapa sendiri,” saya menyambung perbualan.

Memang benar.

Saya sudah jadi mangli dengan fenomena anak durhaka. Anak yang memusuhi ibu bapa. Anak yang mengkritik ibu bapa. Anak yang menyakiti ibu bapa.

Tanda-tanda kiamat barangkali.

“Apabila seorang perempuan melahirkan tuannya sendiri” (Petikan Hadith ‘Jibril’)

BIBIT KEMARAHAN

Pengamatan saya, memperlihatkan bahawa anak-anak mula menimbulkan bibit benci atau sekurang-kurangnya tidak berpuas hati dengan ibu bapa sendiri, semasa mereka menempuh beberapa fasa kehidupan.

Seorang bapa, mungkin garangnya hingga tampar dan jentik menjadi makanan harian seorang anak. Di sepanjang masa, anak menerima hakikat bahawa bapanya adalah seorang yang garang. Lalu dia sentiasa berusaha untuk mengelak daripada ‘buat masalah’ dengan bapa yang garang itu.

Tetapi untuk membenci bapa, tidak terlintas di hati dan kepala.

Fasa pertama yang sering menimbulkan rasa benci serta marah anak kepada ibu bapa ialah apabila anak-anak mula meningkat usia, bersekolah dan memulakan tabiat berkunjung ke rumah kawan-kawan malah bermalam di sana. Pada usia inilah anak mula terdedah kepada contoh-contoh lain tentang bagaimana ’sepatutnya’ seorang yang bergelar ibu juga bapa. Anak-anak mula membandingkan ibu bapanya sendiri, dengan ibu bapa kawan.

Rasa takut terhadap kegarangan bapa dan ibu, mula berubah menjadi benci.

Fasa kedua pula ialah apabila berumahtangga.

Dalam sesetengah keadaan, ada ibu atau bapa yang melebihkan anak mereka sendiri berbanding menantu. Tetapi ramai juga menantu yang ‘bertuah’ mendapat mertua yang baik-baik, namun mereka mula secara tidak sedar menyemai suatu fikiran yang jelek bahawa ibu bapaku tidak sebaik mertua.

Perbandingan-perbandingan inilah yang menyemai bibit benci dan rasa tidak puas hati si anak kepada ibu bapa mereka sendiri.

SEBURUK MANA PUN MEREKA

Seburuk mana pun ibu bapa kita, janganlah sekali-kali kita lupa pada kebaikan mereka semasa kita belum ada upaya menyimpan ingatan. Kebaikan yang mungkin tidak pernah dianggap kebaikan oleh sesiapa kerana berlangsungnya ia tanpa dikenang.

Kita menumpang duduk 9 bulan di perut seorang perempuan. Alam itu digelar Alam ‘Rahim’. Alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada sekelumit sayang di naluri seorang ibu, nescaya dibuang sahaja isi perut itu di tandas, di longkang, di tong sampah atau di mana sahaja.

Kerana secebis belas dan ihsan itulah, kita lahir ke dunia.

Lupakah (memang tidak ingat), semasa kita kecil, kita menjerit sesuka hati, memalukan ibu bapa di tengah kenduri? Kita pecahkan pinggan orang, kita curi barang orang, kita kencing dan berak sesuka hati, kita demam tidak bermusim. Bukan kita seorang, malah adik beradik yang lain. Jika seorang ibu dan seorang bapa, tiada naluri kasih sayang, patah riuk tulang kita dikerjakan mereka. Penat bekerja, tidur entah di mana, bergolok gadai mencari bekal, apakah semuanya semata-mata untuk membesarkan seorang pembenci?

Kita ada ramai kawan, tetapi kita hanya ada seorang ibu dan seorang bapa. Busuk wangi, buruk dan baik, itulah ibu dan itulah bapa.

Pernah suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, memberitahunya bahawa ibu lelaki itu menyuruhnya mentalakkan sang isteri. Lalu Abu Darda’ berkata, aku telah mendengar bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

“Ibu bapa adalah pintu Syurga yang paling tengah. Terserahlah kepada kamu sama ada mahu mensesia-siakan pintu itu atau memeliharanya” (Hadith sahih riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Biar pun sandaran dalil Abu Darda’ terhadap soalan lelaki tersebut kepada hadith ini ada perbahasan ulama’ mengenainya, namun persoalan yang terus kekal, Allah menyediakan pintu syurga bukan di tangan kawan yang paling kamceng, atau kekasih yang sejati itu.

Pintu masuk ke syurga yang paling utama, adalah pada memenuhi hubungan kita dengan ibu, juga dengan bapa.

SALAH IBU BAPA

Saya tidak nafikan, bahawa fenomena anak durhaka adalah produk dosa ibu bapa. Kesalahan ibu bapa merupakan faktor terbesar kepada keberhasilan anak durhaka. Malah sejak sekian lama, kita kaum Melayu sudah disedarkan bahawa Sazali adalah produk kesalahan si bapa menterjemahkan kasih sayang sebagai ‘beri semua yang anak inginkan’.

Memang malang di dunia ini bukan malang kerana tidak disayangi. Tetapi malang kerana gagal menyayangi. Sama ada tidak sayang kepada anak-anak, atau menyayangi mereka dengan cara yang salah.

Sudah terlalu biasa, ceramah saya tentang ibu bapa terpaksa diubah suai. Menekan-nekan akan kepentingan anak menghormati dan menjaga ibu bapa, menjadi sebuah sesi yang penuh penyeksaan, kepada si anak yang membenci ibu bapa. Kebanyakannya, adalah akibat sikap ibu bapa sendiri.

DI PIHAK ANAK-ANAK

Tetapi anak-anak perlu sedar.

Allah SWT tidak mewajibkan seorang anak untuk menyayangi ibu dan bapa!

Kasih sayang itu adalah perasaan yang mustahil boleh dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, dipinggir malah didera oleh ibu bapa, mampu untuk membuta tuli memaksa diri menyayangi orang yang tidak menyayangi mereka.

Sebaliknya Allah SWT meletakkan kewajipan kita sebagai anak-anak, adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan menghormati ibu bapa. Ia bukan balasan kebaikan ibu bapa kepada kita, tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai anak, biar bagaimana sekali pun si ibu dan si bapa.

Baik kejam seorang bapa.

Biar cuai seorang ibu.

Mahu pun busuk seorang bapa.

Biar kafir atau sundal sekali pun seorang ibu.

Bukan anak yang bertindak menghukum mereka.

Segala dosa ibu bapa, kecuaian mereka, dan serba serbi kesalahan dan kekurangan mereka, ibu bapa itulah yang akan bersoal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab dan peranan mereka terhadap kita.

Namun bagi seorang anak, tugas kita adalah untuk tetap menghormati, menjaga kebajikan, memelihara dan memenuhi keperluan mereka tatkala mereka dalam hajat yang diwajarkan Syariat.

Jika dunia ini hanya ada anak dan ibu bapa, mungkin kitaran ini tidak dapat berhenti. Ibu bapa jahat menzalimi anak. Si anak juga jahat dengan membalas dendam kepada anak-anak. Kerana itu titik memahami isu ini ialah dengan kembali merujuk kepada DIA. Kepada Allah yang menjadikan mati dan hidup ini sebagai ujian.

Kita memohon keampunan dari Allah dengan mendoakan keampunan untuk ibu bapa. Tujuannya adalah berbalik kepada CINTA TANPA SYARAT. Sebagaimana ibu bapa mengasihi kita tanpa syarat, begitulah kita memohon agar dikasihani Allah ke atas diri ini TANPA SYARAT. Namun bagi ibu bapa yang gagal mengasihi si anak, kita harus berbalik merujuk kepada Allah. Kitalah pula yang mesti memberi MAAF TANPA SYARAT sebagaimana Allah boleh mengampunkan kita tanpa syarat. Jika sikap kita yang sempit jiwa untuk menguzurkan kekurangan ibu bapa, yakinilah bahawa Allah jua sulit untuk menguzurkan kekurangan kita (yang tidak terbilang itu).

Menghormati mereka, cukup dengan tidak membalas ‘kejahatan’ mereka dengan ‘kejahatan’ kita. Sedang kita pun banyak berbuat jahat kepada Allah, namun Allah sentiasa Maha Tahu cara untuk ‘berbuat baik’ dengan kita. Bagaimana kita boleh mendamba keampunan Allah tanpa syarat, sedangkan kita ghairah meletakkan pelbagai syarat, terhadap ibu bapa sendiri?

ANDAI TIADA KASIH DAN SAYANG

Kewajipan si anak adalah pada mengekalkan perlakuan baik terhadap ibu bapanya. Bukan bergantung kepada layanan ibu bapanya dahulu, tetapi ialah adalah tanggungjawab anak sebagai seorang anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Untuk menyayangi ibu bapa, terpulang kepada anda.

Namun…

Melaksanakan kewajipan tanpa nilai dan kasih sayang adalah suatu beban. Berat tanggungjawab tanpa kasih sayang, adalah maksud malangnya diri yang gagal menyayangi.

Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “apakah perihalnya kamu ini?”

Perempuan itu menjawab, “yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”

Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”

Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”

Binasalah si anak yang lupakan peringatan ini!



ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Share/Bookmark

Read more...

6:21 PM

Ancaman rangkaian WiFi

Anda mungkin terpaksa bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan orang lain. Demikianlah bahana pencerobohan WiFi.

PENCEROBOHAN WiFi meletakkan pengguna yang tidak bersalah dalam keadaan bahaya. - Gambar hiasan

RANGKAIAN wayarles atau lebih popular dengan panggilan WiFi bukanlah suatu yang asing di negara kita.

Setelah lebih 12 tahun Internet diperkenalkan di Malaysia, bilangan pengguna rangkaian yang menggunakan frekuensi radio ini semakin bertambah.

Jika dahulu, WiFi hanya terhad kepada pengguna komersil seperti kafe eksklusif dan organisasi, kini ramai pengguna memasangnya di rumah bagi memudahkan mereka melungsuri Internet.

Namun masih ramai pengguna yang tidak melindungi rangkaian mereka dengan ciri keselamatan yang terdapat pada AP atau Access Point. Ini menyebabkan rangkaian tanpa wayar mereka terdedah kepada penjenayah siber - penipu, lanun siber dan pencuri maklumat.

Pernahkah anda terfikir, rangkaian anda yang tidak dikunci boleh digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti seperti menghantar emel ugutan, mencuri kata laluan perbankan dalam talian, menulis blog berunsur subversif serta menggodam laman web organisasi tertentu?

Lebih menakutkan lagi, jika pihak berkuasa mengesan alamat IP capaian Internet anda sebagai punca aktiviti jenayah yang dilakukan, menyebabkan anda menjadi 'pak sanggup' di atas kesalahan orang lain.

Ya!, anda berhadapan dengan risiko ini sekalipun tujuan tidak mengaktifkan ciri sekuriti pada rangkaian anda ialah bertujuan untuk berkongsi akses Internet dengan jiran-jiran anda. Ramai juga yang tidak melindungi rangkaian mereka kerana kekurangan pengetahuan teknikal.

Golongan tidak bertanggungjawab ini lazimnya akan menumpang rangkaian wayarles yang tidak dilindungi - secara automatik membolehkan mereka menyamar seolah-olah pengguna sah pemilik sesuatu rangkaian itu.

Ia tidak ubah seperti mencuri talian telefon, cuma bezanya pemilik tidak akan perasan kerana kebanyakan pengguna rangkaian ini merupakan pelanggan jalur lebar tanpa had.

Malah, catatan pada bil bulanan tidak menunjukkan sebarang penggunaan yang luar biasa.


Secara perbandingannya, pemilik rangkaian wayarles rumah di negara-negara Barat lebih menitikberatkan tahap keselamatan rangkaian mereka, menurut kajian yang dijalankan oleh firma sekuriti RSA tahun ini.

Di kota Paris sebagai contoh, 98 peratus daripada pemilik rangkaian WiFi telah melindungi rangkaian mereka. New York pula menduduki tempat kedua dengan 97 peratus manakala London menduduki tempat ketiga dengan 90 peratus.

Sungguhpun belum ada statistik khusus yang menunjukkan jumlah aktiviti jenayah siber jenis ini di negara kita, ia tidak bermakna kita semua terhindar daripada ancaman ini.

Salah satu contoh yang wajar dijadikan iktibar ialah kes seorang remaja di Singapura yang menghantar ancaman bom palsu di forum Internet menggunakan rangkaian wayarles jirannya sehingga menyebabkan jirannya yang tidak bersalah itu ditahan pihak berkuasa.

Aktiviti menumpang rangkaian seperti ini begitu popular. Ini kerana penjenayah siber tahu sekiranya ada pihak yang cuba mengesan, jejaknya akan berakhir di rumah pemilik rangkaian tersebut. Sungguhpun pemilik rangkaian WiFi yang tidak bersalah boleh membersihkan nama mereka dengan menepis tuduhan, proses ini mengambil masa yang agak lama.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, seorang lelaki berjaya memperdayakan pihak polis apabila melakukan rompakan terancang ke atas sebuah kereta perisai yang membuat penghantaran duit ke sebuah bank. Beberapa hari sebelum itu, Anthony Curcio, 28, telah membuat iklan online dengan menggunakan rangkaian wayarles individu lain bagi mendapatkan sekumpulan orang untuk memakai pakaian yang sama di bank tersebut bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Anthony yang turut memakai pakaian berwarna yang sama seperti diiklankan berjaya melarikan sejumlah wang kerana pihak polis yang bertindak atas maklumat orang awam terkeliru. Ini kerana terdapat sejumlah orang di kawasan bank tersebut pada masa yang sama.

Sebagai contoh, sekiranya rangkaian anda digunakan oleh seseorang untuk melakukan penipuan kad kredit (menggunakan maklumat kad kredit individu lain dan membuat pembelian dalam talian), pihak polis boleh merampas komputer anda bagi tujuan penyiasatan dan ini sudah cukup menjadi mimpi buruk dalam hidup anda.

Pengguna yang ingin mengunci rangkaian mereka perlu menggunakan perkakasan wayarles yang dilengkapkan dengan ciri keselamatan seperti WiFi Protected Access atau WPA. Sungguhpun hari ini, terdapat jenis ciri sekuriti wayarles yang boleh digodam, tetapi bilangan individu yang mempunyai kepakaran seperti ini tidaklah begitu banyak dan masih terkawal.

rencana@kosmo.com.my
Share/Bookmark

Read more...

5:03 PM

Bulan, Kejora dan Musytari - 1 Disember 2008




Allahu Akbar!!!!!!
Share/Bookmark

Read more...