12:23 AM

Mengapa PAS latah keluar Pakatan?

SUBKY LATIF | .
SAYA tegaskan lagi, tidak berbangkit PAS keluar Pakatan Rakyat gara-gara krisis sengitnya ekoran kedudukan Menteri Besar Selangor.
  
Mursyidul Am dan Presiden PAS menegaskan ketika mula perbezaan terbuka tentang MB itu ialah keutuhan Pakatan Rakyat mesti dipertahankan.
  
Itu adalah penegasan semula sikap PAS tentang muafakat itu sejak ia diwujudkan, malah sebelumnya dalam tahaluf siasi sesama pembangkang dalam Barisan Alternatif, yang menggagalkannya bukan PAS meninggal muafakat itu, sekalipun ada masalah, tetapi pihak lain yang meninggalkannya.
  
Kita akui bahawa Pakatan Rakyat adalah dalam ujian krisis sengit dan ia dihimpit kiri kanan oleh semua sekutunya, tetapi tidak berbangkit PAS mahu meninggalkannya dan tidak pernah berniat untuk memecahkannya. Krisis dan perbezaan apabila tidak dapat dielakkan, terpaksa dihadapi dan ditangani dengan baik.
   
Sesama sahabat Nabi – Saidina Ali Abu Talib dan Muawiyah – kedua-duanya dijamin syurga oleh baginda lagikan pernah berselisih pendekatan, maka apalah pula bagi kita yang 15 kurun jarak dari masa Rasulallah SAW.
  
Kita bukan berpakat untuk berbeza, tetapi perbezaan boleh terjadi bila-bila. Itulah yang dinamakan ujian. Ujian adalah hal yang manusia sentiasa hadapi. Lainlah malaikat yang dijadikan tidak untuk diuji dan tidak juga untuk menguji.
   
Maka manusia yang dipilih Allah sentiasa dapat menangani ujian dan krisis dengan baik.
   
Ada pun PAS bukan berniat keluar Pakatan dan memecahkan Pakatan tetapi PAS mahu jadi sekutu yang berperanan bukanlah seperti lembu yang dicucuk hidung. Sekalipun PAS ditinggalkan oleh semua sekutunya seperti zaman Barisan Alternatif dulu, ia tetap dengan Pakatan sekalipun ia saja yang ada. Maka pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu tidak perlu ke sana sini memberitahu ahli PAS akan apa untungnya kekal dalam Pakatan.
   
Bukan pemimpin saja yang mahukan Pakatan. Ahli akar umbi pun tahu mereka mahukan Pakatan. Jika tidak tiadalah ahli PAS di kampung-kampung minta Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng berceramah di tempat mereka yang orang Cinanya tidak berapa orang.
  
Saya amat yakin dengan kematangan ahli PAS seperti yang pernah ditunjukkan di Kelantan tahun 1990. BN sebarkan poster Tengku Razaleigh pakai tengkolok Kadazan yang ada lambang salib di dahi. PAS Kelantan tak makan taktik itu. 100 peratus mereka memangkah Pakatan Ummah. 100 peratus Pakatan Ummah menang di Kelantan.
  
Yang makan pancing ialah penyokong Pakatan Ummah di luar Kelantan. Habis dengan PAS sekali lingkup gara-gara tidak arif berpolitik. Sejak itu PAS di luar Kelantan bertambah matang belajar daripada perkembangan di Kelantan itu bijaksana berkawan banyak dalam politik.
  
Pemimpin PAS jangan bercakap seolah-olah PAS tidak mahu Pakatan dan tiada apa untungnya dalam Pakatan. Pemimpin PAS mesti bercakap, jika semua tidak mahu lagi Pakatan, sekalipun seorang diri PAS tetap mahukan Pakatan. Jika ada orang PAS yang tidak mahu berada dalam Pakatan ia adalah orang PAS tumpang atau yang mahu lari ke langit.
   
PAS hormati persefahaman seperti Nabi SAW menghormati perjanjian Hudaibiyah. Ia tidak khianat sehinggalah jahiliyah mengkhianatinya. Orang PAS jangan bercadang untuk meninggalkan Pakatan. Yang ada ialah orang suruh PAS tinggalkan Pakatan dan PAS bukanlah jenis orang boleh dan patut disuruh.
   
Biarlah orang Melayu latah, tetapi ahli PAS terutama pemimpinnya jangan latah. – HARAKAHDAILY 8/9/2014

Share/Bookmark

0 comments: